Covid19Kerohanian

Solat Jumaat, solat Fardu dibenarkan di KL, Putrajaya ketika PKPB

Dengan jumlah terhad

KUALA LUMPUR : Hari ini muslimin di Putrajaya dan Kuala Lumpur berpeluang menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau dengan jumlah jemaah terhad dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kebenaran itu diberikan selepas satu keputusan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagaimanapun bagi negeri Selangor, ia bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di negeri tersebut.

“Bagi solat Jumaat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlah jemaah ditetapkan tidak melebihi 50 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.’

“Bagi solat fardu tidak melebihi 20 jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah,”

Datuk Dr. Zulkifli berkata jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing-masing.

Beliau juga berharap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama.
Kerajaan melaksanakan PKPB semula di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula dua hari lalu sehingga 27 Oktober depan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Justeru, masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain di tiga negeri itu sebelum ini adalah ditutup.

Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan solat Jumaat, solat fardu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor, ditangguhkan semasa tempoh PKPB.

JAIS dipetik sebagai berkata pentadbir masjid dan surau di Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh penangguhan itu manakala solat fardu berjemaah pula hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi tiga orang sahaja.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button