Covid19Kerohanian

Kuliah tangguh, solat fardu, Jumaat diteruskan

PKPB di Kelantan hingga 6 Disember

KOTA BHARU: Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau, dan musalla di seluruh negeri ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 6 Disember.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata walau bagaimanapun, solat Jumaat dan fardu di masjid, surau dan musalla tetap diadakan.

Namun, bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan solat dihadkan, bergantung kepada kapasiti muatan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Katanya, bagi masjid bandar, jajahan, dan mukim, jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu hanya 50 orang pada setiap waktu manakala surau, maksimum 30 orang dan bagi musalla hanya 10 jemaah sahaja tertakluk kepada kapasiti muatan.

“Bagi masjid dan surau yang terletak di dalam kawasan yang disahkan terdapat kluster COVID-19, ia akan ditutup apabila mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, masjid dan surau yang terletak di kawasan kluster Mengketil ditutup sehingga kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan agar solat Jumaat dan fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla di negeri Kelantan dalam tempoh PKPB dapat dilaksanakan secara terkawal sebagai langkah membendung penularan virus COVID-19 di negeri ini.

Katanya, SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid dan tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan mematuhinya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button