Covid19Semasa

Raja Perlis perkenan jemaah keluarga sebumbung rapatkan saf

Berkuatkuasa di sekitar masjid negeri Perlis bermula esok

KANGAR 22 Mac:  Jemaah dari keluarga sebumbung dibenar merapatkan saf ketika menunaikan solat di sekitar masjid di negeri Perlis bermula esok.

Walau bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk kepada jemaah dari keluarga yang sebumbung. Manakala, bagi jemaah lain pelaksanaan solat berjemaah masih berjalan seperti biasa. Mereka yang hadir perlu mematuhi operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ketetapan itu mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.

“Jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung boleh merapatkan saf sesama mereka, dengan memastikan selain daripada mereka, perlu mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter seperti ditetapkan dalam SOP,” titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu turut terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada Solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu termasuk solat Tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid dan surau asrama sahaja manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dibenarkan.

Pada masa sama, baginda mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan yang dibenarkan.

-BERNAMA

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran Nurshazlin Shahrom.

Related Articles

Back to top button