
KUALA LUMPUR : Baru-baru ini tular di media sosial tuduhan dilemparkan kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) membawa empat pesawat dipenuhi penumpang dari India tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Mei lalu.
Dakwaan seorang pengguna Facebook menimbulkan kegusaran segelintir masyarakat Malaysia yang beranggapan kes pertama kemasukan COVID-19 dikenali sebagai B.1.617.1 di Malaysia berpunca dari India. Virus ini merupakan hasil mutasi berganda dari virus asal.
Walaubagaimanapun, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua kapal MAB tidak membawa langsung penumpang dari mana-mana negara luar berikutan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu.
“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.” – Menteri Pengangkutan Malaysia / Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Namun, halangan ini terkecuali untuk warganegara Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.
“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan,” – Menteri Pengangkutan Malaysia / Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin ( 3/5), pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuat kuasa 28 April 2021.
Beliau turut menjelaskan, rakyat Malaysia sama ada pelajar dan pekerja, keluarga dan pasangan bukan rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori selama 14 hari di pusat yang ditetapkan.
Menteri Pengangkutan itu meluahkan rasa kesal dengan penyebaran beberapa maklumat salah mengenai status penerbangan tersebut.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di seluruh dunia dengan mengambil langkah berjaga-jaga.
Rakyat Malaysia seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membantu kerajaan memerangi wabak pandemik COVID-19 ini dan bukannya mengadu domba mengajak orang ramai saling bertelagah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah- belahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam, ayat 10-11)
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom