RamadanSemasa

Cik Echah jual 15 jenis kuih-muih tradisional sepanjang Ramadan

KOTA BHARU: Apabila Ramadan menjengah tiba, ibu kepada tiga cahaya mata, Siti Muraiesah Muhammad, 36, akan mula membuat kuih-muih seawal 2 pagi di rumahnya di Pengkalan Chepa, dekat sini untuk dijual di kawasan berdekatan.

Siti Muraiesah yang lebih dikenali Cik Echah berkata untuk tahun ini, beliau menyediakan 15 jenis kuih-muih kepada pelanggan seperti pulut seri kaya, pulut seri muka, agar-agar bersantan, sira labu, sekaya telur dan onde-onde.

“Saya mula menguli bahan untuk membuat kuih ini seawal 2 pagi, selepas itu berhenti sekejap untuk bersahur dan sambung semula sebelum waktu solat zuhur dan pastikan semua kuih-muih ini telah siap. Saya turut dibantu lima pekerja bermula pada 7:30 pagi.”

“Selain itu, saya juga akan pastikan semua bahan untuk membuat kuih-muih ini mencukupi seperti tepung gandum, tepung beras, telur dan sebagainya dengan bermodalkan RM300 sehari,” katanya kepada BERNAMA di rumahnya di sini hari ini.

Siti Muraiesah berkata perniagaan kuih-muih itu mula diusahakannya sejak berusia 25 tahun selepas tamat pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan pada 2012.

“Saya sebenarnya minat buat kuih-muih ini sejak kecil lagi sebab ibu saya, Ramlah Hassan, 65, dahulu berniaga pelbagai jenis kuih-muih dekat sini, jadi resipi ini turun temurun daripada ibu saya.”

“Rugi jika saya tidak menyambung perniagaan yang diusahakan ibu kerana kalau kita lihat jarang orang muda zaman sekarang boleh buat kuih-muih tradisional ini,” katanya yang menjual kuih-muih itu pada harga RM2 hingga RM5 sebungkus.

Siti Muraiesah berkata selain menjual kuih-muih itu di kedai miliknya ‘Seri Siti Katering’, beliau turut mendapat tempahan daripada beberapa gerai untuk dijual sepanjang Ramadan dengan hampir 1,000 bungkus berbagai jenis kuih sehari perlu disiapkan.

Apabila bulan Ramadan ini memang saya dan pekerja tidak menang tangan kerana terima banyak tempahan termasuk daripada pelanggan tetap yang sangat meminati kuih-muih tradisional ini.

“Alhamdulillah, keuntungan bersih jualan kuih-muih pada Ramadan tahun lepas mencecah hampir RM50,000 dan saya harap rezeki ini akan bertambah dengan izin-Nya kerana saya percaya semua ini adalah kehendak Allah SWT,” katanya.

BACA JUGA
CDERT MAPIM dan APM Pahang laksana Misi Prihatin Pra Ramadan di Ulu Tembeling

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button