Semasa

Bacaan Yasin & tahlil penutup Majlis Memperingati Tun Dr Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena memperingati negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman di Masjid Negara malam Rabu.

Majlis itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan lebih 50 warga kementerian berkenaan.

Turut hadir ahli keluarga Allahyarham Dr Ismail antaranya anak sulung beliau, Tawfik Ismail.

Bacaan Yasin dan tahlil yang bermula selepas solat Maghrib itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj ‘Tonggak Perpaduan Negara’ anjuran KKD berlangsung di Dataran Merdeka pada Rabu dari 9 pagi hingga 4 petang.

Ia dianjurkan bagi mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Kredit foto AFIQ HAMBALI | Pejabat Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir berharap pengiktirafan kepada Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj itu dapat mencambah lebih banyak penyelidikan dan diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan.

“Saya menyentuh mengenai sejarah pembangunan negara di dasawarsa lampau tatkala negara melalui fasa yang sangat mencabar sesudah kemerdekaan, selain usaha tegas almarhum dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum“.

“Sebagai menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Tun Dr. Ismail Al-Haj yang menekankan peri penting perpaduan antara kaum, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr. Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)“, ujar beliau.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button