KepenggunaanSemasa

Internet lebih murah mudahkan urusan harian rakyat

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan harga Internet lebih murah menerusi Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat mengikut keperluan masing-masing.

Bagi kumpulan pelajar dan peniaga, penggunaan Internet disifatkan sangat penting dalam kehidupan seharian bagi mencari maklumat dan berinteraksi dengan pensyarah atau pelanggan, selain menjalankan urusan jual beli dalam talian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata inisiatif itu membolehkan pelajar menggunakan Internet tanpa had untuk menghadiri kelas dalam talian, menjalankan kajian serta menghantar tugasan.

Beliau berkata walaupun universiti menyediakan akses point bagi penggunaan Internet namun ia bukanlah capaian optimum untuk kegunaan semua pelajar.

Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM)

“Kita memang berusaha menyediakan Internet menyeluruh kepada pelajar tetapi dalam keadaan yang memerlukan banyak akses point, ia melibatkan kos yang tinggi“.

“Dalam konteks UUM, kita mempunyai hampir 20,000 pelajar di kampus dan pada satu-satu masa, misalnya pada waktu malam apabila semua pelajar berada di asrama, sudah tentu gangguan Internet akan berlaku“, katanya kepada BERNAMA.

Dr Ahmad Martadha berkata harga Internet lebih murah disifatkan sebagai situasi menang-menang untuk pelajar dan universiti, iaitu pelajar dapat menggunakan perkhidmatan itu sekali gus membolehkan pihak universiti menyediakan akses yang lebih menyeluruh khususnya untuk pelajar kurang berkemampuan atau B40.

Isnin lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai.

Menurut Fahmi, penggunaan MSAP akan menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah dengan dasar baharu di mana ada jalan, di situ ada Internet akan diperkenalkan, bagi memastikan masyarakat mendapat akses kemudahan itu dengan lebih meluas.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Wilayah Persekutuan, Sharin Darus berkata inisiatif kerajaan dapat membantu peniaga mempromosikan produk dengan lebih giat tanpa kekangan had Internet dan pada masa sama menambah pendapatan, terutama bagi perniagaan berskala kecil.

Ada yang baru berjinak dalam bidang perniagaan yang memerlukan data Internet yang cukup untuk menarik orang ramai mengenali produk mereka di media sosial dan antara masalah yang sering dihadapi adalah kekangan data.

“Melalui dasar yang memperkenalkan Internet lebih murah akan memberikan ruang kepada peniaga untuk menjual barangan secara aktif dalam talian serta memudahkan urusan jual beli melalui kaedah pemindahan wang, tanpa perlu risau terputus bekalan Internet“, katanya.

Sharin Darus, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Wilayah Persekutuan

Sharin yang mengusahakan perniagaan pakaian terpakai atau bundle di Chow Kit hampir 20 tahun berkata, beliau memerlukan Internet untuk memastikan keselamatan kedainya menerusi pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam.

Sementara itu, jurulatih program pengurusan di sebuah syarikat swasta Eyzrine Norsofea Tajodin turut menyokong usaha kerajaan memperkenalkan harga Internet lebih murah, memandangkan tugasannya banyak menggunakan Internet.

Selain berinteraksi dengan peserta latihan, beliau juga menggunakan platform dalam talian untuk menyertai mesyuarat bersama rakan strategik dan menyediakan bahan pemasaran seperti infografik dan video.

BACA JUGA
MAPIM Mobile Kitchen sedia 1,000 masakan panas percuma

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button