DuniaSemasa

Ghusl Kaabah berlangsung 15 Muharram semalam

MEKAH: Jemaah di Masjidil Haram berkesempatan melihat proses mencuci Kaabah pada Rabu (15 Muharram) waktu Arab Saudi.

Ia adalah acara tahunan yang turut dipanggil Ghusl Kaabah.

Timbalan Gabenor Makkah, Putera Badr bin Sultan memimpin proses berkenaan mewakili Penjaga Dua Masjid Suci, yang juga pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Sa’ud.

Turut hadir, Presiden Umum bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci yang juga Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdurrahman As-Sudais dan pemegang kunci Kaabah, Sheikh Saleh Al Shaiba.

Al Shaiba adalah pewaris ke-108 dari keturunan Uthman ibn Talha RA yang diberi amanah oleh Nabi Muhammad SAW untuk memegang kunci Kaabah, kunci bumbung Kaabah dan kunci Makam Ibrahim selain untuk menjaga Kaabah bagi abad-abad seterusnya.

Sementara itu, proses Ghusl Kaabah dimulakan dengan menaikkan kain kiswah di bahagian pintu Kaabah bagi membolehkan mereka yang terlibat memasuki Kaabah bagi tujuan pembersihan.

Sejumlah 540 liter air pewangi ros daripada Taif yang merupakan pewangi ros termahal di dunia digunakan bagi proses pembersihan itu.

Pewangi ros terbabit dicampurkan dengan 40 liter air Zamzam untuk proses mencuci bahagian pintu dan dalam Kaabah.

Turut digunakan, 24 mililiter minyak ros Taif berkualiti tinggi dan 24 mililiter minyak Oud dan minyak Attar.

Pengendali akaun twitter The Holy Mosques turut memaparkan gambar-gambar peralatan yang digunakan bagi proses Ghusl Kaabah itu.

Ratusan anggota keselamatan dikerah mengawal dan memantau proses berkenaan di ruang dataran Kaabah (mataf) bagi memastikan proses mencuci Kaabah berjalan lancar.

Kali terakhir Ghusl Kaabah dilakukan adalah pada pertengahan Ogos 2022, yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammad bin Salman.

BACA JUGA
MAPIM anjur program ‘healing’ melalui Majlis Ummah Berselawat

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button