Covid19Semasa

Terengganu tidak benarkan jamuan buka puasa, moreh di masjid

Makanan berbungkus masih boleh

KUALA TERENGGANU 12 April : Jamuan berbuka puasa tidak dibenar diadakan di semua masjid dan surau seluruh Terengganu sepanjang Ramadan yang dijadual bermula Selasa ini.

Turut dilarang ialah moreh dan jamuan sahur.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata ketetapan itu bertujuan membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, jemaah masih dibenar berbuka puasa, moreh dan bersahur dengan makanan berbungkus tanpa membabitkan bilangan ramai.

“Garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedar kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri. Jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma dan air bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah berbuka puasa,” –  Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) / Mat Azmi Arshad

Mat Azmi berkata, gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung menyediakan juadah berbuka puasa di masjid dan surau adalah kelaziman sebelum COVID-19 melanda.

Katanya, semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19.

– BH Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button