KUALA LUMPUR – Perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada 26 Ogos kekal berlangsung tanpa kehadiran penonton.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak penganjur perlu memastikan semua garis panduan yang ditetapkan dipatuhi.
Beliau berkata pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen hari ini.
Sebelum ini dilaporkan Kementerian Belia dan Sukan akan meminta nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran semula Liga-M ekoran peningkatan jumlah kes COVID-19 di dalam negara ketika ini.
Liga-M 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan COVID-19 akan bermula pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Premier manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Okt.
- Bernama