Covid19Semasa

Jenazah pesakit Covid-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

KUALA LUMPUR : Jenazah Islam yang dijangkiti Covid-19 dibenarkan untuk dimandikan dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga dan mengikut tatacara pengurusan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pengendali jenazah yang terlatih di hospital akan menguruskan mandi dan kafan dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

“KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

“Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, hanya proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah pesakit Covid-19 yang boleh dilaksanakan tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital tanpa penglibatan waris.

Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti Covid-19, Khairy berkata pakaian baharu boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP sekiranya prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian dan hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan sertai urusan itu.

Dalam pada itu, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi mereka masih perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button