Semasa

PDRM terima 16 dron berkuasa tinggi yang mampu terbang selama 4 jam

bagi mengawal sempadan

Kangar : Dalam menangani kes jenayah dengan lebih berkesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ketinggalan menggunakan teknologi terkini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, PDRM akan menerima 16 dron berkuasa tinggi yang diluluskan oleh kerajaan pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Beliau menambah, dron tersebut akan dikawal oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sempadan seluruh negara terutama di kawasan yang tidak berpagar.

Dron yang akan diperoleh nanti mampu terbang di udara lebih daripada empat jam.

“Sebanyak RM48 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan menerusi RMK-12 RT1 (Rancangan Tambahan 1) melalui proses tender oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perolehan dron ini. Kita harap dengan adanya dron ini boleh membantu meningkatkan operasi dan tahap keselamatan di kawasan sempadan terutama yang tidak berpagar, bagi mengekang aktiviti jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Katanya, kawasan sempadan tidak berpagar itu adalah sejauh 44.55 kilometer yang digunakan oleh penyeludup melalui lorong tikus sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button