Dos penggalak tingkat perlindungan kematian bagi usia 50 tahun ke atas sehingga 95%
LONDON : Tahap perlindungan terhadap kematian akibat jangkitan varian Omicron mampu meningkat kepada 95 peratus bagi individu berusia 50 tahun dan ke atas yang menerima suntikan dos penggalak Covid-19.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) berkata perlindungan terhadap kematian dengan Omicron adalah kira-kira 60 peratus bagi mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas selepas kira-kira enam bulan mengambil dos kedua bagi mana-mana vaksin Covid-19.
UKHSA berkata data terus menunjukkan tahap perlindungan yang tinggi terhadap kemasukan ke hospital bagi dos penggalak.
Bagi Moderna, keberkesanan terhadap kemasukan ke hospital adalah 90 hingga 95 peratus sehingga sembilan minggu selepas dos penggalak.
Keberkesanan terhadap kemasukan ke hospital adalah kira-kira 90 peratus untuk vaksin Pfizer-BioNTech, menurun kepada 75 peratus selepas 10-14 minggu menerima dos penggalak.
UKHSA juga mengeluarkan analisis awal keberkesanan vaksin terhadap sublineage Omicron yang dipanggil BA.2, yang menular di Britain dan Denmark yang mendapati tahap perlindungan sama terhadap penyakit bergejala.
“Selepas dua dos, keberkesanan masing-masing adalah sembilan peratus dan 13 peratus untuk BA.1 dan BA.2, selepas lebih 25 minggu,” menurut UKHSA.
“Ia meningkat kepada 63 peratus untuk BA.1 dan 70 peratus untuk BA.2 daripada dua minggu selepas vaksin penggalak.”
– AGENSI