Covid19KesihatanSemasa

South African B.1.351 – Varian baharu COVID-19 dikesan

Berkait rapat dengan Kluster Jalan Lima

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia mengenalpasti varian baharu COVID-19 di negara ini iaitu South African B.1.351 menerusi empat kes penularan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan varian South African B1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember 2020 di United Kingdom dan Afrika Selatan.

Menurut beliau, varian itu mula dikesan pada Mac lalu dan ia berkaitan dengan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

“Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang membabitkan pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Namun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes berkenaan sukar untuk dikenal pasti dan disahkan. Selain itu satu kes dikesan dalam Kluster Kebun Baru serta satu kes lagi adalah ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 yang tinggal serumah,” – Ketua Pengarah Kesihatan/Tan Sri Dr Noor Hisham

Susulan daripada penemuan pertama varian B.1.351 tersebut, lebih banyak ujian jujukan genom telah dijalankan dengan menggunakan sampel positif COVID-19 dari lokasi geografi termasuk Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil ujian yang dijalankan menunjukkan terdapat lima kes lagi dikesan daripada lokaliti ini yang telah dijangkiti dengan varian tersebut. Empat kes adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes adalah daripada Kluster Jalan Lima,” – Ketua Pengarah Kesihatan/Tan Sri Dr Noor Hisham

Tambah beliau, varian B.1.351 didapati mempunyai pelbagai mutasi ‘spike protein’ termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y and L241_A243del, namun ia tidak mempunyai mutasi H69_V70del seperti yang terdapat pada varian UK B.1.1.7.

“Analisis jujukan genom juga menunjukkan kebarangkalian asal-usul jangkitan daripada kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di KLIA berdekatan dengan kawasan Sepang diikuti penularan jangkitan ke kawasan penduduk tempatan di Kuala Langat,” – Ketua Pengarah Kesihatan/Tan Sri Dr Noor Hisham

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button