Covid19Semasa

Tiada lagi kemeriahan sambutan Syawal di Selangor

PKP di enam daerah berkuat kuasa bermula 6 - 17 Mei

KUALA LUMPUR : Sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini buat penduduk di enam daerah di Selangor berbeza berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Khamis (6 Mei) hingga 17 Mei 2021.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah yang dikenakan PKP ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Manakala, tiga lagi daerah dikecualikan kekal dengan arahan yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

“Semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pelaksanaan PKP yang dilaksanakan di Kelantan dan lima daerah di Kedah,” – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob / Menteri Kanan (Keselamatan)

Tambah beliau dalam sidang media harian COVID-19 semalam, sebarang aktiviti sosial dilarang sama sekali.

Walaubagaimanapun, semua sektor ekonomi masih berjalan seperti biasa dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

Sumber : Laman rasmi Facebook MKN

Premis makanan seperti restoran, ‘food truck’, penjaja dan kiosk dibenarkan operasi dari jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam sahaja. Manakala, kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.

Sementara itu stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam tetapi stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Hospital, klinik dan makmal perubatan beroperasi seperti biasa manakala operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 2 petang.

Keputusan aktiviti bazar Ramadan akan diputuskan sendiri oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau juga menjelaskan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri dibuat oleh pihak Kerajaan Persekutuan selepas diputuskan dalam sidang media mesyuarat MKN.

MKN memutuskan PKP selepas meneliti pembentangan Kerajaan Selangor serta merujuk kepada KKM dan data sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Segala keputusan yang dibuat mengambil kira setiap aspek terutamanya peningkatan mendadak kes jangkitan positif COVID-19 Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021.

Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini termasuk mengetahui apa yang boleh dilaksanakan dan dilarang sepanjang PKP, orang ramai boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my – BH

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button