Sukan

Arab Saudi lancar kempen anjurkan AFC Asian Cup 2027

Sedia pukau bola sepak dunia

KUALA LUMPUR :  Arab Saudi baru-baru ini bersedia memukau pelawat dan peminat bola sepak ke negara itu semasa Piala Asia 2027 jika negara itu berjaya membida hak sebagai tuan rumah kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Duta Arab Saudi di Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan berkata, selain infrastruktur sukan dengan lebih 17 stadium disediakan untuk kejohanan itu, negara yang kaya dengan minyak itu turut membangunkan kemudahan berkaitan pelancongan untuk pelawat semasa kejohanan itu.

“Kami mempunyai stadium baharu di beberapa wilayah dan juga kawasan pelancongan baharu yang bakal memberi kejutan untuk semua orang,” katanya mengenai usaha negara itu menjadi tuan rumah kejohanan yang dimulakan pada 1956.

“Kejohanan itu akan dihoskan di banyak bandar raya termasuk Riyadh, Jeddah dan Dammam,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Mahmoud Hussein menyerahkan dokumen termasuk buku bidaan Arab Saudi bagi fasa terakhir proses bidaan kepada ketua Pejabat Piala Asia (Pertandingan dan Divisyen Acara Bola Sepak AFC), Jinho Yu, di ibu pejabat AFC di Bukit Jalil pada Jumaat (11 Dis)

Bagaimanapun, Arab Saudi bukan negara tunggal membida hak sebagai tuan rumah edisi ke-19 itu kerana empat lagi negara iaitu India, Iran, Qatar dan Uzbekistan turut mengemukakan bidaan kepada AFC.

“Kami menjuarai kejohanan ini sebanyak tiga kali (1984, 1988 dan 1996), melangkah ke final sebanyak enam kali dan mewakili Asia sebanyak lima kali pada Piala Dunia FIFA. Ini kali pertama kami memohon untuk menganjurkan pertandingan ini.

“Jadi saya melihat kami mempunyai rekod yang baik…peluang terbaik untuk memenangi bidaan ini. Insya-Allah, kami berharap untuk menganjurkan pertandingan ini pada 2027,” katanya.

Tuan rumah Piala Asia dijangka diputuskan pada separuh kedua tahun 2021 oleh 47 negara anggota AFC.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tuan rumah edisi 2019 manakala tuan rumah edisi 2023 China akan menyaksikan buat pertama kali 24 pasukan bersaing berbanding 16 pasukan sebelum ini. – BERNAMA

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button