Hafizh Syahrin pelumba Moto2 negara kemalangan dalam perlumbaan MotoGP Austria di litar Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi (waktu tempatan)
Hafizh Syahrin mengalami kemalangan berkenaan setelah merempuh jentera yang ditinggalkan pelumba Itali, Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team, yang terjatuh akibat gagal mengawal jentera yang ditunggangnya itu.
Keadaan itu turut menyebabkan dua lagi pelumba; Edgar Pons dari Sepanyol dari pasukan Federal Oil Gresi dan Andi Farid Izdihar dari Indonesia (Idemitsu Honda Team Asia).
Bagaimanapun menerusi tangkap layar yang dimuat naik Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali sebentar tadi, mengesahkan pelumba berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan berkenaan.
Hafizh Syahrin difahamkan telah dibawa ke pusat perubatan bagi menerima rawatan lanjut.
Ciapan MotoGP dari Pengurus Pasukan Gino Borsoi berkata pelumbanya itu kini dalam keadaan baik, namun banyak calar dan lebam diterima Hafizh terutama bahagian tulang belakang, namun dia sedar.
Untuk rekod, kemalangan itu dipercayai berpunca setelah pelumba Itali dari pasukan Italtrans Racing Team, Enea Bastianini gagal mengawal jenteranya sebelum terjatuh.
Bastianini bagaimanapun sempat meninggalkan trek dengan segera sebelum dirempuh pelumba-pelumba lain termasuk Hafizh Syahrin.
Kemalangan itu memaksa bendera merah dikibarkan di trek berkenaan bagi menandakan perlumbaan dihentikan seketika.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Twitternya mengesahkan Hafizh Syahrin dalam keadaan sedar.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan wakil kementerian di Austria untuk memberi sebarang bantuan.
“Saya baru terima khabar tentang kemalangan @Hafizh_pescao55 daripada Dato Razlan Razali sebentar tadi dan Alhamdulillah, beliau dalam keadaan sedar,” katanya.
Berita kemalangan Hafizh menjadi trending dengan ribuan ciapan peminat mendoakan kesihatan Hafizh.