Covid19Semasa

4 kes baharu varian Omicron dikesan di Kedah

PUTRAJAYA : Sebanyak 58 kes positif Covid-19 baharu varian Omicron dikenal pasti dengan 54 kes jangkitan import manakala empat lagi kes melibatkan penularan tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata empat kes penularan tempatan tersebut dilaporkan di Kedah menerusi hasil jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dipercayai mendapat jangkita daripada seorang jemaah umrah yang positif.

 

“Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes Covid-19 varian Omicron yang pulang dari mengerjakan ibadah umrah di Arab Saudi pada 12 Disember lalu kemudian disahkan positif pada 24 Disember.

“Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember.

“Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember adalah positif dengan CT Value antara 20.80 hingga 21.49.

 

Kesemua mereka diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import melibatkan 39 kes dari Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

Justeru, beliau mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah untuk terus mematuhi arahan, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu lain.

Kegagalan mematuhi arahan akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button