Covid19DuniaKemanusiaan

Pemandu Teksi Imigran Ini Bukti Tak Perlukan Nama Untuk Jadi Hero Ummah

Pernahkah anda terfikir bahawa situasi sulit akan membuka minda kita dengan lebih luas untuk mencari jalan keluar, malah hati kita akan jadi mudah sensitif dengan keadaan sekeliling? Mungkin kerana itu musibah yang melanda itu sering dikaitkan dengan hikmah yang terselindung.

Saban hari kita melihat banyak organisasi yang cuba untuk membantu masyarakat ketika krisis COVID-19 sedang melanda. Ada yang berikan makanan panas kepada petugas barisan hadapan, tidak kurang juga yang memberi bekalan makanan asas kepada keluarga yang hilang sumber pendapatan.

Di Sepanyol, sebuah negara yang terkenal dengan tempat lahirnya bintang bola sepak antarabangsa, siapa sangka seorang pemandu teksi bernama Syeraz Syed kini menjadi sebutan orang ramai ibarat bintang terkenal sehingga mendapat liputan dari media luar negara.

Syeraz yang berasal dari Pakistan itu telah memulakan satu inisiatif di kota Barcelona bersama enam orang sahabatnya yang juga pemandu teksi untuk memberi sokongan kepada petugas kesihatan dengan memberi perkhidmatan penghantaran secara percuma.

Inisiatif ini bermula pada pertengahan Mac ketika perintah berkurung di Sepanyol baru dilaksanakan. Syeraz dan sahabatnya membincangkan bagaimana pekerja perubatan dapat kembali ke rumah mereka dengan selamat selepas kepenatan bertugas di hospital.

Kini pemandu teksi yang turut sama dalam gerakan murni tersebut sudah mencecah 200 orang. Dalam satu temubual, Asim Gondal iaitu salah seorang pemandu sukarelawan, beliau turut serta dengan harapan dapat menjimatkan masa dan wang para petugas kesihatan.

Kakitangan perubatan bekerja terlalu lama dan kami melihat mereka pergi ke tempat kerja dengan pengangkutan awam. Atas sebab ini, kerana mereka bekerja di barisan hadapan untuk kemanusiaan, kami memulakan perkhidmatan ini juga untuk menjimatkan lebih banyak masa mereka dan, dengan cara ini, mereka tidak membelanjakannya untuk pengangkutan awam.”

Bagi mengurangkan risiko penularan wabak, pihak berkuasa telah menghadkan setiap pemandu teksi untuk bekerja sehari sahaja dalam seminggu. Dan pemandu hendaklah memakai topeng muka, sarung tangan serta membawa gel disinfektan ketika bekerja.

Setakat ini 5 orang pemandu teksi telah direkodkan positif COVID-19 dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Ianya menakutkan apabila rakan sekerja anda berada di hospital, ada yang di kalangan mereka itu kawan saya dan mereka pernah makan di rumah saya. Risiko sentiasa ada.” Kata Syeraz bila mengulas lanjut tentang risiko yang dihadapi. Walau bagaimanapun, mereka akan teruskan perkhidmatan selagi tiada halangan.

Dalam pada itu, terdapat komuniti Pakistan di Barcelona yang lain juga mencetuskan gerakan berbeza untuk membantu penduduk tempatan dalam situasi genting ini.

Pemilik kedai runcit telah menukarkan gudang industrinya kepada ruang khas bagi pemandu teksi menyusun  stok barangan sebelum diagihkan dalam kotak makanan kepada gelandangan dan keluarga yang memerlukan.

Selain itu, beratus-ratus topeng muka dan pakaian keselamatan PPE untuk petugas kesihatan dijahit di Pusat Kebudayaan Islam Catalan.

Secara umumnya kita tahu pemandu teksi adalah antara orang yang amat terkesan dengan perintah berkurung ini kerana tidak dapat menjana pendapatan seperti biasa. Tambahan lagi bila negara tersebut bukanlah tempat kelahiran dan berlainan budaya. Namun begitu, Syeraz dan pemandu sukarelawan yang lain membuktikan bahawa mereka tidak perlukan pangkat atau pengaruh untuk memulakan sesuatu yang mulia.

Walaupun mengetahui risiko yang tinggi untuk membawa penumpang yang terdedah kepada coronavirus, mereka tetap melaksanakannya tanpa rasa berbelah bahagi kerana rasa tanggungjawab bagi mengurangkan beban mereka yang sedang berkorban. Bukan sahaja memandu dalam kepenatan boleh membahayakan nyawa petugas-petugas berkenaan, kos berulang alik ke hospital juga akan membebankan mereka.

Cukup dengan gerak hati, seseorang akan mengenepikan kesusahan yang mereka hadapi dan memberi apa sahaja dalam kemampuan mereka untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Walaupun nama mereka mungkin akan dilupa satu hari nanti, tetapi bagi mereka cukuplah kebahagiaan orang lain sebagai kepuasan buat mereka simpan dalam ingatan.

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button