Covid19DuniaKesihatanSemasa
Trending

Trump Ugut Sekat Dana Kepada WHO, Balasan Kerana ‘China-centric’

AS tersenarai negara paling banyak jangkitan COVID-19 dengan lebih 400,000 kes

 

Pandemik COVID-19 yang semakin mengancam dunia dari segala sudut sepatutnya dapat membuatkan komuniti global bersatu hati untuk memastikan kita menang dalam ‘perang’ ke atas coronavirus ini.

Walaupun saintis masih belum mendapat jawapan yang mutlak bagi persoalan punca wabak virus ini bermula, namun ada sesetengah pihak yang masih bersikap pentingkan diri dengan menyalahkan orang lain.

Selasa lalu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam satu sidang media menyatakan kekecewaannya terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas “kesilapan” mereka yang telah menyebabkan pandemik COVID-19 menular dengan begitu cepat ke seluruh dunia terutamanya di AS.

Beliau menyifatkan WHO gagal dalam memberi maklumat lebih awal sebagai amaran bahawa risiko untuk wabak berkenaan tersebar adalah amat tinggi dan bersifat China-centric (menyebelahi China) dalam tindakan yang diambil.

AS katanya akan menyekat dana kepada agensi kesihatan dunia berkenaan sebagai balasan.

Bagi menjawab kenyataan Trump itu, Ketua Pengarah WHO Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata sikap menuding jari perlu dielakkan, sebaliknya Amerika dan China patut bersatu dalam menghentikan wabak ini.

Tumpuan semua parti politik adalah untuk menyelamatkan rakyat mereka, jangan mempolitikkan virus ini dan mengeksploitasikan perbezaan yang ada di peringkat kebangsaan. Jika anda mahu dieksploitasi dan jika anda ingin melihat lebih banyak beg mayat, maka silakan. Jika anda tidak mahu beg mayat yang lebih banyak, maka anda tidak perlu mempolitikkannya.

Amerika Syarikat dan China sepatutnya bekerjasama untuk melawan musuh berbahaya ini.

– Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus

WHO telah pun mengambil inisiatif seawal Januari dalam penyiasatan mereka mengenalpasti ancaman virus berkenaan dan banyak memberi perkembangan siasatan melalui sidang media dan laporan semasa.

Trump ketika itu terbukti memandang remeh dengan perkembangan semasa walaupun WHO dan doktor di AS sendiri telah memberi amaran risiko penularan wabak COVID-19 adalah tinggi. Tindakan lewat di bawah pengurusan Trump kini telah menyebabkan AS sebagai negara no. 1 dalam senarai kes positif COVID-19.

Malah Penasihat Perdagangan Presiden Trump, Peter Navarro, telah mengeluarkan sebuah memo pada akhir bulan Januari bagi memberi amaran risiko “wabak besar-besaran” yang disebabkan oleh coronavirus baru bakal menghancurkan jutaan rakyat Amerika. Memo tersebut bagaimanapun tidak diendahkan oleh pentadbiran Trump.

Sikap sambil lewa Trump terbukti dalam satu ucapannya pada 27 Februari, kerana masih memberi gambaran yang tidak serius walaupun 60 kes positif telah direkodkan di AS.

“Ia akan hilang. Satu hari nanti, seperti keajaiban ia akan hilang.” Kata Trump.

Kini di Amerika, wabak koronavirus telah menyebabkan 10 juta rakyatnya tidak lagi bekerja kerja dalam masa dua minggu, sehingga ada yang turut hilang pekerjaan. Para ahli ekonomi memberi amaran situasi ini akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi dunia yang sangat teruk.

 

Dalam pada itu, Jeremy Konyndyk, felo kanan polisi di Pusat Pembangunan Global, berkata tindakan mencari kesalahan pihak lain hingga menimbulkan perselisihan ketika ini adalah tidak wajar. Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa WHO lambat dalam isu COVID-19.

“Secara umum, saya fikir WHO jauh lebih ke hadapan dalam mengawal graf dan memahami risiko virus berbanding pentadbiran Trump sendiri, jadi saya tidak fikir WHO wajar dipersalahkan kerana tindak balas lambat yang diambil AS.”

Data yang dikumpul oleh Johns Hopkins University menunjukkan bahawa daripada 1.5 juta orang telah disahkan positif COVID-19, hampir 329,000 telah pulih manakala lebih 80,000 mati akibat penyakit berkenaan. Itali direkodkan negara dengan kematian tertinggi iaitu lebih 17,000 kes.

Tonton secara live peningkatan kes koronavirus di seluruh dunia:

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button