Kemanusiaan

Calon SPM kerja sambilan, kumpul duit beli komputer riba

Simpati kepayahan ibu dan nenek

PADANG BESAR : Kehilangan tonggak keluarga, menyedarkan dua pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia, SPM,  untuk membantu meringankan bebanan ibu dan nenek mereka.

Farahanim Mohd Noor dan Muhammad Hazim Azizi, menggunakan kesempatan sekolah ditutup akibat pandemik COVID-19 untuk bekerja sambilan mengumpul wang bagi membeli keperluan sekolah.

Farahanim, 17, bergelar yatim piatu selepas kematian ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya ketika dia berumur tiga tahun manakala Muhammad Hazim, 17, anak kedua daripada tiga beradik hilang ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia tiga tahun lepas akibat penyakit darah tinggi.

Farahanim dan Muhammad Hazim merupakan antara pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di seluruh negara yang kembali ke sekolah hari pada Selasa lalu,  bagi meneruskan persekolahan secara bersemuka.

Farahanim yang dibela neneknya, Noriah Ismail, di Kampung Nesam di sini berkata dia terpaksa bekerja di sebuah pasar raya, untuk membeli komputer riba dan memasang internet bagi memudahkannya mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah.

“Saya tidak malu untuk mengaku masih memakai kad prabayar dengan tambah nilai RM5. Ia hanya mampu bertahan tiga hari untuk dapatkan kemudahan internet bagi mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian.’ Hendak minta dengan tok (nenek) tidak  sampai hati kerana wang hasil ambil upah menjual sayur di pasar selain wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima nenek setiap bulan hanya cukup untuk makan sahaja…jadi saya perlu  bantu nenek..kesian dia ” – Farahanim Mohd Noor, calon SPM

Sementara itu Muhammad Hazim berkata, simpati terhadap kepayahan ibu mendorong dia bekerja sambilan.

“Ayah meninggalkan kami tiga tahun lalu, saya kasihan lihat ibu seorang diri mencari rezeki buat kami bertiga..saya ambil keputusan bekerja sementara di sebuah restoran di Kangar sepanjang lima bulan lepas (bermula Ogos) bagi mencari sedikit wang. Bagi saya tidak salah bekerja sambil belajar…janji pandai bahagikan masa,”- Muhammad Hazim Azizi, calon SPM

Beliau ditemui BERNAMA ketika sedang mengelap meja makan di sebuah restoran baru-baru ini.

Muhammad Hazim, pelajar aliran sains di sebuah sekolah kluster di sini yang memasang impian bergelar ahli geologi berkata walaupun bekerja sambilan dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan, beliau tetap mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian.

“Saya guna duit hasil titik peluh sendiri untuk beli kelengkapan sekolah dan bantu ibu beli baju untuk adik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Rozieana Ahmad sebelum ini berkata terdapat pelajar SPM perlukan bantuan bagi pulihkan semangat mereka untuk memulakan sesi persekolahan hari ini berikutan sebahagian daripada mereka telah bekerja secara sambilan bagi membantu keluarga ketika sekolah ditutup.

Katanya ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kaunselor sekolah diminta bersama-sama membantu memulihkan semangat pelajar terbabit memulakan persekolahan kerana SPM adalah peperiksaan yang  penting bagi menentukan masa depan anak muda. – BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button