Kerohanian

Hukum menanam pokok di atas kubur

Oleh Azrina Amri, Wartawan Pelatih

Sesungguhnya, Islam mengajar setiap makhluk yang bernyawa di dunia ini pasti tidak boleh melarikan diri daripada merasai kematian.

Soal kematian, seksaan kubur dan alam barzakh adalah perkara yang sangat dekat dengan umat Islam. Segala pengurusan jenazah seperti memandikan, mengkafankan, solat serta pengebumian jenazah akan dilakukan dengan sebaiknya sebagai penghormatan terakhir kepada si mati.

Perbuatan yang sering diamalkan oleh sesetengah orang kita adalah menanam pokok di atas kubur setelah pengebumian selesai. Adakah amalan ini dibolehkan di dalam Islam?

Berdasarkan huraian yang diterangkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bahawa Nabi Muhammad SAW ketika melawati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa, Nabi bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”

Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada kuburan masing-masing. Mereka (para sahabat) bertanya: “Kenapa anda melakukan ini?”. Baginda menjawab:

“Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. 

Menanam pokok di atas kubur merupakan salah satu sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ia boleh meringankan azab dengan berkat tasbih pohon itu.

Namun demikian, haram untuk menanam tumbuhan yang boleh merosakkan tubuh mayat dengan akarnya atau seumpamanya. Jika tumbuhan tersebut boleh mendatangkan keburukan kepada mayat ia sangat tidak digalakkan.

Dalam pada itu, sekiranya tumbuhan yang ditanam itu sudah kering, disunatkan untuk dicabut dan digantikan dengan tumbuhan yang baru.

Tambahan pula, sekiranya bukan pemilik atau waris si mati mencabut atau mengambil tumbuhan yang hidup di atas kubur orang lain tanpa keizinan tetaplah haram untuk mengambilnya.

Justeru itu, amalan menahan tumbuhan di atas kubur merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang patut kita contohi apabila berlakunya kematian. Namun perlu diambil kira jenis tumbuhan yang hendak ditanam sama ada ia boleh merosakkan tubuh mayat atau tidak.

Amalkanlah doa dan zikir harian sementara kita masih hidup, agar perjalanan kita ke alam barzakh dipermudahkan oleh Allah SWT.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button