InspirasiKerohanianPendidikanSemasa

Adakah berdosa jika terlintas dihati untuk melakukan maksiat ?

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

Cabaran dan budaya yang berubah saban waktu menyaksikan umat Islam terdedah kepada perkara maksiat yang boleh menyalahi syariat.

Setiap dosa tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat, Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d yang bermaksud:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.” Surah Ar-Ra’d : 11

Adakah niat di dalam hati untuk melakukan maksiat mendapat dosa ?

Imam al-Subki menjelaskan, niat atau keinginan untuk melakukan maksiat terbahagi kepada lima kategori:

  • Al-Hajis: Perkara yang dicampakkan ke dalam hati.
  • Al- Khatir: Perkara yang berlegar dan melintasi hati
  • Hadith al-Nafs: Teragak-agak sama ada untuk melakukan perkara tersebut atau tidak.
  • Al- Hamm: Keinginan untuk melakukannya lebih dominan.
  • Al-‘Azm: Tekad untuk melakukannya.

Menurut beliau, ulama bersepakat kategori pertama, kedua dan ketiga tidak berdosa dan dimaafkan.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas di hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya.” Sahih Muslim

Kategori keempat iaitu Al-Hamm atau keinginan yang timbul untuk bermaksiat tidak dikira sebagai dosa selagi dia tidak melakukannya.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila hamba-Ku berkeinginan untuk melakukan kejahatan, maka janganlah kamu (malaikat) menulis dosa ke atasnya, tapi jika dia melakukannya, tulislah satu dosa ke atasnnya” Sahih Muslim

Jika seseorang itu berniat dan mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukan maksiat, maka ia dikira sebagai dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila dua kumpulan orang Islam berlawan pedang, yang membunuh dan yant terbunuh akan dimasukkan ke neraka. Lalu aku bertanya, Wahai Rasulullah, yang membunuh itu memang patut masuk neraka, tapi mengapa yang terbunuh juga demikian? Baginda menjawab: Kerana dia juga berniat untuk membunuh saudara Muslimnnya,” Sahih Al-Bukhari 

Justeru itu, terdetik dalam hati atau lintasan hati untuk melakukan maksiat tidak dikira sebagai dosa, selagi mana dia tidak melayan keinginan tersebut dan tidak berniat atau berazam untuk melakukannya.

Oleh itu, sebagai seorang muslim tatkala terlintas di hati atau timbul keinginan untuk bermaksiat, kita hendaklah segera memadamkan hal tersebut dan segera beristighfar kepada Allah SWT.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button