DuniaKerohanianSemasaSyariah

Polisi had pembesar suara masjid di Arab Saudi dipertahan

Undang debat di media sosial, mahu had sama dikenakan ke atas kafe & restoran

RIYADH: Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi mempertahankan perintah kontroversi mengehadkan bunyi pembesar suara di masjid.

Dalam dasar utamanya minggu lalu, kementerian itu berkata, bunyi pembesar suara tidak boleh melebihi satu pertiga daripada bunyi maksimum yang dibenarkan, di negara yang menempatkan masjid suci umat Islam.

Menterinya, Abdullatif al-Sheikh, menjelaskan arahan itu dibuat ekoran aduan mengenai bunyi yang terlalu bising sehingga menyebabkan gangguan kepada kanak-kanak dan juga orang tua.

Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi / Abdullatif al-Sheikh

“Mereka yang ingin beribadat tidak perlu menunggu panggilan imam untuk mengerjakan solat, mereka harus berada di masjid sebelumnya. Beberapa saluran televisyen juga menyiarkan doa dan bacaan al-Quran,” katanya bagi menunjukkan bahawa pembesar suara mempunyai tujuan yang terhad.

Gulf news melaporkan, perintah itu, yang turut mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk panggilan menunaikan solat, berbanding menyampaikan ceramah agama, mengundang teguran pelbagai pihak di media sosial.

Di negara yang memiliki 98,000 masjid itu, perintah bagi mengurangkan bunyi panggilan azan dialu-alukan sebahagian besar penduduknya.

Namun, pada masa yang sama ia menimbulkan reaksi berbeza di media sosial. Ada yang menyatakan kemarahan  dengan tanda pagar meminta larangan muzik bernada tinggi di restoran dan kafe turut diberi perhatian.

Abdullatif sebaliknya berkata, kritikan terhadap dasar itu disebarkan oleh musuh kerajaan yang ingin membangkitkan sentimen masyarakat.

Menurut AFP, dasar itu dilhat sebahagian daripada usaha liberalisasi pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Putera Mohammed sebelum ini turut melonggarkan sekatan sosial, dengan menarik balik pengharaman berpuluh tahun terhadap operasi pawagam dan pemandu wanita selain membenarkan konsert muzik serta acara sukan disaksikan wanita dan lelaki.

Kelonggaran itu mendapat sokongan majoriti penduduk Arab Saudi, yang hampir dua pertiga berumur bawah 30 tahun tetapi kurang disenangi golongan konservatif.

Arab Saudi juga mengehadkan kuasa polis agama yang sebelum ini menggerunkan penduduk kerana sering secara terbuka menghalau lelaki dan perempuan yang  bukan muhrim dari pusat beli belah selain menempelak mereka yang bergaul bebas.

Putera Mohammed sebelum menjanjikan Arab Saudi yang ‘sederhana’ dalam usaha mengubah imej sebagai negara Islam konservatif dan pada masa sama, membanteras sebarang bantahan. Sejak tiga tahun lalu, Arab Saudi menahan puluhan aktivis wanita, ulama, wartawan dan anggota kerabat diraja.

Related Articles

Back to top button