Covid19DuniaSemasa

WHO ketepikan Myanmar hadiri sidang dunia

Terima dua permohonan pihak berkuasa awam, junta tentera

GENEVA : Myanmar dikecualikan daripada senarai negara yang diundang menyertai Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-74 sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Keputusan itu dibuat WHO selepas ia tidak dapat mengenal pasti wakil sah dari Myanmar yang perlu dijemput, susulan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan selepas rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-74 menerima permohonan kedua-dua pihak, iaitu pihak berkuasa awam Myanmar dan junta tentera yang mendalangi rampasan kuasa, untuk menghadiri majlis terbabit.

Perhimpunan badan induk utama WHO tahun ini, yang mula bersidang Isnin lalu hingga 1 Jun depan, dianggap antara yang terpenting memandangkan penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara masih meruncing.

Difahamkan, jawatankuasa WHO diberi tugas mengendalikan pengesahan maklumat delegasi dari negara berkaitan mencadangkan supaya keputusan untuk mengenal pasti wakil Myanmar ditangguhkan. Keputusan sedemikian dibuat sementara menanti pendirian Perhimpunan Agung PBB (UNGA) berhubung perkembangan semasa yang berlaku di Myanmar.

Buat masa ini, berdasarkan cadangan jawatankuasa, tiada mana-mana wakil dijemput dari Myanmar untuk menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-74.

Ia turut disokong negara anggota WHO, yang dimuktamadkan tanpa sebarang proses pengundian Rabu lalu.

Myanmar sehingga kini masih bergolak selepas rampasan kuasa didalangi junta tentera pada 1 Februari lalu, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran saban hari dan kebangkitan dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan kumpulan pemantau tempatan, tentera Myanmar setakat ini membunuh lebih 800 orang awam dalam usaha menyekat kemaraan kebangkitan penduduk menentang rampasan kuasa itu. – AFP

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button