DuniaRohingya

UNHCR gesa sokongan berterusan antarabangsa terhadap golongan pelarian

DHAKA : Golongan pelarian perlu diberikan sokongan antarabangsa secara berterusan, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Berdasarkan kenyataan UNHCR, pada Ogos 2017, kekejaman oleh pihak tentera di Rakhine, Myanmar telah memaksa hampir 750,000 pelarian yang beragama Islam melarikan diri, menjadikan jumlah keseluruhan pelarian di Cox’s Bazar mencecah 1.2 juta orang.

Pada 13 hingga 18 Februari lalu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Kelly T Clements dan Pengarah UNHCR untuk Asia dan Pasifik, Indrika Ratwatte mengadakan lawatan ke Bangladesh, termasuk ke kem pelarian di Cox’s Bazar dan Pulau Bhasan Char.

Hasil lawatan itu mendapati terdapatnya keperluan mendesak dan lebih komprehensif berkaitan bantuan kemanusiaan.

“Kami mendapati bahawa langkah penempatan semula ke negara ketiga bagi golongan paling terjejas dengan perlindungan khusus, serta peluang pekerjaan dan pendidikan merupakan antara penyelesaian alternatif,” menurut kenyataan itu.

Clements turut mengulangi komitmen UNHCR bagi kepulangan secara sukarela dan penyelesaian lain.

“Mereka tetap berasa bimbang terhadap nyawa mereka akan terancam jika berbuat demikian walaupun pelarian dengan jelas menyatakan keinginan untuk pulang ke negara asal.

“Oleh itu, kami perlu berusaha mencari penyelesaian lain sambil menggandakan usaha menyediakan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan bagi mereka dan tuan rumah,” kata Clements.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button