KepenggunaanSemasa

Al-Quran dirumikan: KDN rampas 3,823 naskhah, bahan & hasil penerbitan

SHAH ALAM: Sebanyak 3,823 naskhah, bahan dan hasil penerbitan Al-Quran khususnya dari Indonesia dirampas menerusi Op Naskhah yang dilaksanakan di seluruh Selangor sejak 1 Okt lepas sehingga semalam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM110,221.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ahmad Hilmi Said berkata pihaknya turut merampas 943 filem format cakera video digital (DVD).

Beliau berkata rampasan berkenaan adalah hasil risikan dan operasi pihaknya di mana bahan-bahan yang dirampas itu tidak melalui atau melepasi tapisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) dan Lajnah Tashih Al-Quran dalam negara.

Hasil pemeriksaan juga mendapati naskhah Al-Quran yang dirampas mengandungi penulisan ayat Al-Quran yang telah dirumikan, diperoleh dari Indonesia.

Ahmad Hilmi Said, Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika Sidang Media berkaitan ‘Ops Naskhah’ pada Khamis

“Merumikan ayat Al-Quran adalah tidak dibenarkan dalam negara ini dan telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,”  tegas Ahmad Hilmi Said, Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Hilmi berkata kecenderungan penggunaan ayat Al-Quran yang tulisannya telah dirumikan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa Al-Quran iaitu Bahasa Arab terpinggir.

Lebih membimbangkan LPPPQ adalah penggunaan ayat Al-Quran yang dirumikan akan menyalahi nahu bahasa Arab yang mungkin menyebabkan maksud asal perkataan itu terpesong, katanya.

Setakat ini, kita tidak mengesan sebarang penglibatan sindiket dalam penjualan naskhah Al-Quran tersebut sebaliknya lebih kepada permintaan selepas didapati ia banyak dijual di media sosial.

Harga yang ditawarkan adalah antara RM40 hingga RM100 mengikut saiz dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya.

Ahmad Hilmi berkata pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di pintu masuk utama negara di Selangor antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selain di kedai-kedai menjual naskhah, bahan serta hasil penerbitan Al-Quran.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang di talian 03-55190349 atau Instagram @pkkselangorkdn serta Facebook rasmi Penguatkuasaan dan Kawalan Selangor.

BACA JUGA
KDN rampas Al-Quran bernilai RM563,370 tanpa kelulusan LPPPQ di Pendang

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button