EkonomiKerohanian

Suruhanjaya Sekuriti perkenal rangka kerja dana berciri wakaf

Pacu pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan rangka kerja baharu sebagai pemudahcara penawaran dana Islam yang bercirikan wakaf bagi memacu pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam.
SC dalam satu kenyataan berkata, pembangunan wakaf dikenal pasti sebagai antara bidang yang berpotensi besar untuk pembangunan sosial, pengagihan manfaat dan kekayaan awam yang lebih besar, di bawah Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam SC yang dilancarkan pada 2017.
“Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf akan memperluas rangkaian produk pasaran modal Islam inovatif dan memberikan orang ramai akses kepada dana Islam yang memperuntukkan keseluruhan atau sebahagian daripada pulangan dana ke arah aktiviti memberi manfaat sosial melalui wakaf.
“Wakaf adalah instrumen endowmen Islam yang biasanya dikaitkan dengan objektif pembangunan sosial dan kedermawanan,” katanya.
Menurut SC, rangka kerja yang berkuat kuasa hari ini akan menyepadukan objektif komersial dan sosial serta membolehkan pelaburan untuk manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.
Katanya, rangka kerja itu merangkumi dana unit amanah dan dana borong sedia ada dan yang baru dilancarkan.
“Ia menetapkan penerima wakaf yang layak dan keperluan penzahiran bagi meningkatkan ketelusan dalam pelaburan yang dilakukan oleh pelabur dan pengagihan wakaf.
“Sepanjang beberapa tahun yang lalu, SC berusaha untuk memudahcara pembangunan wakaf melalui beberapa inisiatif melalui platform kepimpinan pemikiran.
“Ia termasuk penganjuran sidang meja bulat industri khusus dengan kerjasama Pusat Pengajian Islam Oxford, memperkenalkan rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang menggabungkan pembangunan aset wakaf sebagai projek SRI yang layak serta memudahcara penawaran saham wakaf pertama di dunia,” katanya.
Butiran lanjut dan maklumat mengenai Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf boleh diperoleh menerusi ‘Guidelines on Unit Trust Funds’ dan ‘Guidelines on Unlisted Capital Market Products under the Lodge and Launch Framework’ yang disemak semula di laman web SC. – BH

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button