KerohanianSemasa

Jumlah jemaah masjid di Selangor digubal

Ambil langkah berjaga-jaga, elak cetus kluster agama

SHAH ALAM : Bilangan jemaah masjid di enam daerah di negeri Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini diubah semula berikutan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu.

Menurut Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor, solat fardu lima waktu, solat Jumaat dan solat sunat tarawih dijalankan seperti biasa dengan jumlah jemaah yang berbeza dari sebelum ini.

Sumber : Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor

Dalam satu kenyataan jawatankuasa itu, ketetapan jumlah jemaah bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menunaikan solat Jumaat ialah seramai 500 jemaah termasuk pentadbir masjid, solat fardu lima waktu (200) dan solat tarawih 500 muslimin termasuk pentadbir, 100 muslimat.

Manakala, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, solat Jumaat dibenarkan 500 jemaah termasuk pentadbir, 200 jemaah bagi solat fardu lima waktu dan solat tarawih hanya 500 muslimin dan 50 muslimat.

Bagi Masjid Pengurusan dan Masjid Kariah, solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tarawih diputuskan hanya 100 jemaah sahaja termasuk pentadbir. Selain itu, Masjid Institusi menempatkan 200 jemaah bagi ketiga-tiga waktu solat.

Surau Solat Jemaah, dibenarkan solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat tarawih, masing-masing meluluskan hanya seramai 50 jemaah sahaja.

Sementara itu Surau Kariah, tiada jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat, namun, solat fardu lima waktu dan solat sunat tarawih hanya membenarkan 50 jemaah sahaja.

Aktiviti masjid seperti program kuliah atau tazkirah dibenarkan, namun, pihak masjid atau surau dilarang menjemput penceramah luar dari daerah tersebut. Bagi sesi kutipan zakat fitrah berjalan seperi biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Solat Jenazah, Qiamullail, jamuan selepas kuliah, tadarus Al-Quran adalah dibenarkan dengan jumlah jemaah tidak melebihi ketetapan bilangan jemaah solat fardu lima waktu yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, aktiviti seperti operasi kiosk dan mesyuarat agung tahunan masjid atau surau adalah tidak dibenarkan.

Bagi daerah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bilangan jemaah adalah kekal seperti terdahulu.

Tindakan ketetapan semula jumlah jemaah ini diambil bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 berleluasa. Pola penularan jangkitan di Selangor mencatatkan lebih tinggi berbanding negeri lain mendatangkan kegusaran buat semua pihak. Menyedari risiko ini pihak Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor bertindak menggubal semula jumlah jemaah bagi menghindari penularan wabak berleluasa.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button