KerohanianSemasa

Berbakti demi ummah selagi bernyawa: pesan Mama

Wanita sentiasalah dampingi diri dengan Al Quran

SHAH ALAM 14 Mac : Kecintaannya terhadap isu-isu fiqh dan maslahat wanita, membawa dirinya mengembara ke luar negara menyampaikan dakwah mengenai peranan wanita dari kaca mata Islam.

Pada usia 76 tahun, kudratnya semakin merosot namun semua itu tidak pernah menghalang beliau untuk terus berbakti demi ummah.

Atas kegigihan itulah, Ustazah Datin Hajah Aminah Zakaria dinobatkan sebagai Tokoh Saidatina Ummu Salamah, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 anjuran Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAYA), baru-baru ini.

Anugerah yang dinamakan mengikut antara empat wanita hebat di zaman Rasulullah itu bertujuan melestarikan peranan wanita Islam dengan menelusuri suri teladan Ummahatul Mukminin yang terdidik melalui tarbiah langsung daripada contoh Rasulullah SAW.

Anugerah Saiditina Khatijah, Saidatina Aisyah Ummi Salamah dan Saidatina SAffiyah itu adalah sebagai penghormatan wanita-wanita yang banyak berjasa dalam memekarkan fungsi wanita Islam sekaligus mencontohi perjuangan mereka dari sudut tersendiri masing-masing dalam majlis yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Asas Model Ummahatul Mukiminin’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, merupakan tetamu kehormat yang menyampaikan anugerah berkenaan kepada penerima.

Hajat UMMAHToday, untuk bersemuka dengan beliau tidak kesampaian kerana masih di dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP. Lantas temu bual hanya dilakukan melalui panggilan telefon.

Usai mengucapkan tahniah, beliau terus menzahirkan ucapan syukur tidak terhingga kepada Allah SWT di atas pengiktirafan itu. Katanya, ia satu penghormatan kepada dirinya kerana pada ketika ini ramai penceramah dan pendakwah wanita muda bersama-sama membantu menyebarkan syiar Islam khusus kepada wanita. Namun dirinya masih diingati dan beliau amat berterima kasih di atas pemilihan itu. Tambahnya ia satu perkembangan yang baik, kerana membantu mengimarahkan ilmu-ilmu kepada wanita lebih-lebih lagi dalam dekad ini yang cukup mencabar bagi wanita Islam.

“Saya rasa benar-benar terkejut dan terharu,  syukurlah , kerana pada usia sebegini dan pada masa masih ramai penceramah muda, masih ada pihak yang sudi memilih saya atas kerja-kerja dan perkongsian ilmu untuk kebahagiaan ummah. Bagi mereka yang memilih saya semoga mereka mendapat ganjaran di sisi Allah” – Ustazah Datin Aminah Zakaria / Tokoh Saidatina Ummu Salamah

Pada majlis itu, beliau dan tiga lagi penerima anugerah menerima cenderamata dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Ketika memohon penjelasan tentang kesihatannya, Datin Aminah berkata lumrah bagi mereka yang pada usianya, tidak boleh terlalu lama, sebab itu kerusi roda menemani beliau ketika menerima anugerah. Namun keadaan itu tidak menghalang beliau terus memberi ceramah. Kuliah tidak pernah lekang dalam hidupnya, antaranya Kuliah Dhuha Muslimat yang diajari beliau setiap minggu.

Sehari kemudian beliau dijemput menghadiri idak menghalang semangat dan azamnya untuk terus berbakti buat wanita muslimah amnya.  kesihatannya, dalam nada penuh keibuan, beliau menjelaskan setakat ini kesihatan beliau baik sahaja, namun semakin berusia beliau tidak ampuh untuk berdiri terlalu lama.

“Setakat ini Alhamdulillah, saya tiadalah sakit apa-apa, cuma saya tidak boleh berdiri terlalu lama.”

Selaku Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, SALIMAH, Datin Aminah terkenal dengan perkongsian mengenai ilmu dan masalahat wanita malah beliau sering menyampaikannya di saluran radio dan televisyen tempatan.

Watak beliau yang penuh naluri keibuan terukir dalam setiap perjalanan dakwahnya ketika memberi penerangan mengenai hal ehwal wanita Islam baik di universiti dan kepada komuniti tempatan. Beliau juga pernah diundang sehingga ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura, untuk menyampaikan ceramah agama.

Menimba ilmu di Maahad Mahmud Alor Setar, Kedah pada tahun 1965, beliau kemudian melanjutkan pendidikan ke Universiti Al-Azhar, Kaherah pada tahun berikutnya.

Di samping anugerah ini, beliau banyak meraih penghargaan antaranya anugerah Saiditina Khadijah sempena International Conference on Women Security and Global Challenges, dan tokoh Maulidur Rasul Selangor.

“Selagi saya ada saya akan meneruskan kerja-kerja amal dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk berkongsi ilmu bersama-sama ummah”

Lebih mesra dipanggil `Mama’, beliau berpesan kepada wanita masa kini, dampingilah diri sentiasa dengan Al-Quran serta bertadabbur dengannya. Mengakhiri perbualan beliau berkata pesanan daripada Allahyarham suami, iaitu  mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, terpahat di jiwa, berbuatlah apa sahaja dan membuat sumbangan ke jalan Allah.

Sarat ilmu dan pengalaman dalam bidang beliau kini tinggal  bersama-sama anak-anak dengan sembilan cucu dan seorang cicit. Usaha beliau mengimarahkan program keIslaman dan hal hal kewanitaan wajar dicontohi oleh pelapis penceramah baru di Malaysia.  Beliau kini sedang menyiapkan sebuah buku bersama-sama dengan rakan penulis iaitu Dr Che Radiah Mezah dan Normah Mohd Ariff.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, mengucapkan tahniah atas pengiktirafan kerajaan terhadap beliau.

Tiga orang lagi wanita menerima penghormatan itu daripada YADIM, antaranya Pengerusi Sekolah Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Binti Abdullah. Beliau memenangi Anugerah  itu dalam kategori Saidatina Safiyyah – Saudara Baru dan Dakwah.

Prof Fatin terpilih memenangi anugerah Saidatina Safiyyah atas kecemerlangan beliau menyumbang kepada masyarakat dalam menyebarkan syiar Islam dan menarik lebih ramai orang memeluk agama Islam, menjadi sukarelawan dan aktivis NGO dakwah serta dalam bidang pendidikan mualaf, antaranya membangunkan Edu-Mualaf.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

– Surah Ali Imran, ayat 104

Related Articles

Back to top button