“WALAUPUN dua ambulans yang kita wakafkan hancur terkena bedilan pesawat penggempur, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus membantu saudara Islam di Syria.
“Keadaan begitu mendesak di enam negeri iaitu Idlib, Hama, Babulhawa, Azaaz, Pinggir Aleppo dan Lantakia di mana ramai pelarian baru yang datang kerana rumah mereka dibom serta ditawan tentera Daish,” kata Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan RescueSyria Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sani Araby Al Kahery.
Menurutnya, usaha untuk membantu pelarian Syria dikejutkan apabila dua ambulans wakaf MAPIM musnah dibedil pesawat penggempur di Hama, minggu lalu.
Katanya, serangan waktu malam itu mengakibatkan sembilan orang terbunuh dan hanya tinggal tiga ambulans yang masih beroperasi ketika beberapa kawasan lain juga begitu memerlukan bantuan perubatan.
“Berdasarkan maklumat lapangan, pesawat Russia yang mengebom kawasan itu dan ia mengenai van yang kita bawa masuk awal tahun lalu.
“Sekarang kita hanya tinggal tiga buah dan kita perlukan tambahan lima ambulans lagi di enam negeri terbabit.
Sebuah ambulans berharga RM100,000 dan kita buka wakaf satu bahagian RM5,000,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Naib Presiden MAPIM berkata, Misi Bantuan Kemanusiaan RescueSyria berada di pinggir Aleppo sejak tiga hari lalu dimana 23 khemah pusat latihan sementara untuk pelarian digunakan sebaik mungkin menerusi pelbagai aktiviti dan kursus jangka pendek untuk melatih pelariaan di dalam negara itu.
Ia turut disertai seorang lagi Naib Presiden MAPIM, Abdul Aziz Abu Bakar yang turut menyaksikan kemusnahan di beberapa bandar di Syria yang mengakibatkan pelarian berhijrah mencari perlindungan.
“Saya berpuas hati dapat lihat tengok anak-anak bumi Syam tersenyum gembira, seolah-olah mereka terlupa segala kisah trauma yang pernah mereka lalui.
“RM2 juta kutipan kilat diperlukan untuk misi musim kali kesembilan yang bakal dilaksanakan pada awal November ini. Ia akan digunakan untuk menghantar bantuan terdesak khususnya makanan, ubatan dan khemah pelarian. Hulurkan bantuan menerusi www.tabungsyria.com,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:42 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/274695/semangat-tak-lumpuh