KerohanianSemasa

Perginya seorang pewakaf besar – MAIWP

Darul Ilmi pusat warga emas dalami ilmu agama

KUALA LUMPUR : إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP,  hari ini, kehilangan seorang pewakaf besar yang banyak berjasa kepada agensi agama itu.
Menerusi Facebook MAIWP,  seorang insan yang ditangisi pemergiannya dicatatkan iaitu seorang pewakaf besar yang banyak jasa dan sumbangannya kepada MAIWP.
Allahyarham Ir Haji Mohd. Mazlan bin hj. Md. Ismail Merican meninggal dunia pagi tadi, jam 7.30 pagi di kediamannya.
Menurut MAIWP, Allahyarham IR. Haji Mohd Mazlan pada November 2011 telah mewakafkan kepada MAIWP hartanah seluas 1.72 ekar di No. 9, Lot 2854, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur.
Wakaf hartanah Allahyarham berbentuk banglo kediaman dan kebun, untuk tujuan pusat pengajian warga emas yang kini diuruskan oleh MAIWP dan dikenali sebagai Darul Ilmi.
“Telah kembali ke rahmatullah seorang pewakaf yang telah mewakafkan hartanah berskala besar di Wilayah Persekutuan ini.” – MAIWP
Pusat pengajian Darul Ilmi membolehkan penuntut mempelajari ilmu agama secara intensif selama dua tahun bermula dari bangun pagi sehinggalah ke waktu tidur.
Sebagai pusat pengajian agama Islam berkonsepkan pondok moden yang dibuka oleh MAIWP, ia memberi peluang kepada mereka yang berusia 55 tahun ke atas untuk mendalami ilmu agama tetapi ia bukan pusat penjagaan warga emas.
Aktiviti yang diadakan di Darul Ilmi adalah pengajian kitab agama, solat secara berjemaah, kelas marhaban, berzanji dan tarannum, qiyamullail dan sebagainya.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.
Begitu besar manfaat yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ir. Haji Mohd Mazlan” – MAIWP
Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.   AlFatihah
‎بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
‎ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
MAIWP turut memuat naik sebuah video yang pernah diterbitkan mengenai hasrat murni Allahyarham mewakafkan hartanah kepada MAIWP.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button