Pengasas ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ tampil mengaku salah, mohon maaf kepada umat Islam
Dr Wan Maseri Wan Mohd secara terbuka lafaz syahadah perbaharu keIslaman
KUANTAN : Pengasas ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawa sebelum ini.
Profesor Dr Wan Maseri Wan Mohd secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.
Pengakuan sama dibuat dalam Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bersidang di Putrajaya pada Isnin.
Melalui pengakuan itu, beliau menjelaskan kenyataannya tentang Nabi Muhammad SAW tidak wujud adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Begitu juga dengan kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hijab kita dengan ALLAH, tidak boleh berselawat kepada baginda dan tidak boleh memohon bermimpi baginda juga salah serta bertentangan dengan ajaran Islam. Saya juga mengaku bahawa kenyataan tentang semua orang Islam belum Islam selepas kewafatan Rasulullah juga terpesong.”
Beliau melafakan pengakuan berkenaan dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wan Maseri menjelaskan, kajian 99 Asmaul husna yang dijalankan tidak tepat dengan disiplin perolehan ilmu yang diperlukan syariat.
“Justeru saya menarik balik semua penulisan yang telah tersebar di kalangan masyarakat.
“Insya-ALLAH saya akan mengemukakan penulisan baharu yang akan terlebih dahulu melalui proses perolehan ilmu yang benar di sisi syariat,” katanya.
Ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ yang dibawa bekas pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu sebelum ini dirujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (Muzakarah MKI) kerana didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sebelum ini, PAS Pahang mengesahkan Ahli Jawatankuasa Muslimat Kawasan Kuantan, Prof. Dr. Wan Maseri Wan Ahmad yang dikaitkan dengan ajaran meragukan sudah meletakkan semua jawatannya dalam parti pada tahun 2019.
Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, Wan Maseri telah meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti itu dua tahun lalu, dan bukan lagi ahli Pas.
Semua ajaran Wan Maseri Wan Mohd bukan silibus kepada program tarbiyah Pas kerana parti itu telah pun mempunyai silibus sendiri yang telah disusun oleh Dewan Ulama dan Lajnah Tarbiyyah Pas.