SUNGAI PETANI 13 APRIL : Polis Diraja Malaysia, PDRM, mengesan sindiket penipuan terbaru yang menggunakan taktik meminta derma di laman sosial dengan menggunakan pertubuhan atau institusi yang kononnya berasaskan Islam.
Selain itu, ada juga taktik yang menggunakan akaun peribadi di laman sosial untuk membolehkan orang ramai menyalurkan wang kononnya untuk membantu pesakit kronik.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob yang menyifatkan tindakan itu cuba untuk meraih simpati orang ramai untuk menderma.
Kegiatan scammer berkenaan semakin aktif menjelang Ramadan ini untuk meminta derma melalui Facebook, WhatsApp atau Twitter, mengambil kesempatan keinginan orang ramai untuk beramal.
“Orang ramai jangan mengambil risiko dan perlulah berhati-hati dengan penipuan yang menggunakan pertubuhan Islam atau institusi agama, untuk mengumpul derma seperti ini,” katanya hari ini.
Menurut Datuk Zainuddin, walaupun individu berkenaan menggunakan latar belakang pertubuhan Islam sekali pun untuk aktiviti keagamaan namun orang ramai perlu berhati-hati kerana zaman sekarang orang akan mempergunakan pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian.