Semasa

Pelan Induk Wakaf Negara urus aset lebih cekap

Peranan wakaf diperkasa

Perdana Menteri berkata, peranan wakaf dapat terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara, menerusi pelan berkenaan,

“Ini juga diharap akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan.

“Jadinya, saya berharap pembabitan semua pihak sama ada masyarakat, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara,”  – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021, yang disiarkan secara maya, pagi tadi (Selasa 13 April).

Tanpa menidakkan kedudukan Majlis Agama Islam Negeri – sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri, beliau berkata, empat perkara utama digariskan untuk diberi perhatian.

Perdana Menteri berkata, perkara pertama ialah meningkatkan tabungan dana wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan.

Beliau berkata, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan perlu merangka inisiatif bagi menggalakkan pegawai dan kakitangannya untuk wakaf secara tunai, terutamanya secara berkala melalui potongan gaji.

“Bagi tujuan ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474.” – – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Begitu juga dengan institusi perbankan dan kewangan dalam membantu mempelbagaikan lagi platform berwakaf. Institusi kewangan Islam seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan kewangan mereka,” katanya.

Tambahnya, perkara kedua yang perlu diberi perhatian penting ialah menjadikan pembangunan hartanah wakaf sebagai antara elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Lima tahun negara.

Katanya, GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan korporat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri perlu mengenalpasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset wakaf.

“Ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik wakaf. JAWHAR dan YWM perlu bersama-sama merangka pelan pembudayaan yang holistik dan komprehensif, yang akan dilaksanakan di peringkat nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri.

“Jadinya, kita harap JAWHAR selaku jabatan di peringkat Persekutuan yang diiktiraf penubuhannya sejak 2004 akan terus meningkatkan hubungan baik dengan Majlis Agama Islam Negeri bagi memastikan pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji umat Islam menjadi lebih sistematik, cekap dan berkesan.

“Keempat, YWM khususnya perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat benar-benar menjadi contoh teladan pentadbiran wakaf yang terkehadapan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap melalui peranan institusi berkaitan wakaf di Malaysia, negara boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf. – BH

Related Articles

Back to top button