Covid19Kesihatan

Mutasi virus Covid-19 tidak terus merebak dengan cepat

Saintis waspada, pantau mutasi baru

LONDON: Kajian saintis mendakwa tiada fakta konkrit yang menyatakan bahawa mutasi virus COVID-19 yang menjangkiti individu di seluruh dunia ketika ini, akan terus merebak dengan cepat.

Dalam kajian yang menggunakan kumpulan data genom virus global ke atas 46,723 orang yang dijangkiti COVID-19 dari 99 negara, penyelidik mengenal pasti lebih daripada 12,700 mutasi, atau perubahan berlaku pada virus SARS-CoV-2, lapor agensi berita CNA.

“Virus itu didapati bermutasi sepanjang masa, dan ada di antaranya seperti virus selesema – berubah lebih kerap daripada yang lain,” kata Profesor di Institut Genetik University College London (UCL), Lucy van Dorp yang juga seorang penyelidik utama kajian itu, semalam.

Sebilangan besar mutasi virus COVID-19 bersifat neutral, tetapi ada juga lebih kuat atau memudaratkan virus, dan ada juga vaksin kurang berkesan terhadap virus itu.

Ketika virus bemutasi, vaksin terhadapnya harus disesuaikan secara teratur untuk memastikan virus itu mencapai sasaran yang tepat.

Dengan virus SARS-CoV-2, vaksin pertama yang menunjukkan keberkesanan terhadap penyakit ini serta mendapat kelulusan pihak kawal selia dijangka akan digunakan untuk imunisasi sebelum akhir tahun ini.

Seorang lagi Profesor UCL, Francois Balloux memberitahu hasil kajiannya mendapati buat masa ini, mutasi itu tidak menimbulkan ancaman terhadap keberkesanan vaksin COVID-19, namun memberi amaran bahawa pengenalan vaksin secara tergesa akan memberi tekanan selektif baharu kepada virus untuk bermutasi dalam sistem imunisasi manusia.

“Berita mengenai masa depan vaksin ini kelihatan hebat.

“Mutasi virus ini mungkin mampu mengatasi vaksin yang dihasilkan pada masa hadapan, tetapi kami yakin akan dapat mempercepatkan usaha meningkatkan keberkesanan vaksin sesuai pada masa berkenaan,” katanya

Kajian awam mutasi virus itu diumumkan Mei lalu, sebagai pelan induk saja sebelum beberapa saintis mengambil alih meneruskan kajian itu yang sudah diterbitkan semalam dalam jurnal Nature Communications.

Pasukan penyelidik dari UCL Britain dan Universiti Oxford, France Cirad dan Université de la Réunion dari Perancis, menganalisis genom virus dari 46,723 orang yang dijangkiti COVID-19 dari 99 negara, dikumpulkan hingga akhir Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, 12,706 mutasi yang dikenal pasti, kira-kira 398 kes diuji berulang dan secara bebas,” kata penyelidik.

Daripada jumlah itu, saintis memfokuskan pada 185 mutasi yang mereka dapati terjadi sekurang-kurangnya tiga kali secara bebas semasa wabak itu.

Namun, penyelidik tidak menemui bukti bahawa mana-mana mutasi biasa meningkatkan penyebaran virus, sebaliknya, ia bersifat neutral. – AGENSI

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button