KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menegaskan amalan rasuah yang berlaku di Malaysia berada pada skala membahayakan dan mengingatkan bahawa ‘penyakit’ tersebut akan memusnahkan anak bangsa. Kekayaan negara yang disalah guna membuatkan hasil dieksport negara lesap, mengakibatkan kemunduran terus melanda serta kemiskinan merebak.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Tuan Haji Mohd Azmi Abd Hamid (Cikgu Azmi) amalan rasuah amat merbahaya bukan sahaja kepada sistem pentadbiran sesebuah negara, termasuk perlu dijadikan pengajaran ia boleh meruntuhkan kerajaan Melayu Islam kerana pengkhianatan.
MAPIM beri 4 syarat sekiranya NGO mahu menjadi ‘kuasa’ bagi membanteras rasuah.https://t.co/52qQfZItV0
— SinarHarian (@SinarOnline) September 28, 2022
Sesebuah organisasi bukan kerajaan atau NGO boleh dikuasakan malah memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh bersama membanteras rasuah, memantau serta melaporkan dengan meluas yakni sebagai whistle-blower yang dilindungi di bawah Akta SPRM (Akta 711) sebagai pemberi maklumat, melibatkan NGO dalam pelbagai platform dalam diskusi dasar anti-rasuah dan membantu memberikan kesedaran kepada kempen awam tentang bahayanya rasuah.
“Anak muda sekarang memerhatikan wujudnya hiprokrasi dalam masyarakat terutamanya dikalangan orang dewasa yang menunjukkan tauladan tidak baik. Oleh itu bila kita berbicara dengan orang muda, kita harus bijak menyusun kata kerana contoh yang tidak baik itu telah jelas di kaca mata orang ramai malah dunia. Anak muda turut sedang kecewa dengan apa yang berlaku kini,” kata Cikgu Azmi dalam program Kompas yang membincangkan tentang ‘Parahnya rasuah: Menjunjung titah Sultan Perak’ terbitan Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Cikgu Azmi, selama 65 tahun kita membina negara yang harmoni dan majmuk seperti ini. Tanahair ini telah dipupuk dengan kekuatan Islam, nilai bangsa yang sudah sinonim dengan Islam. Oleh itu, visi sebuah negera itu jangan terpukau dengan rujukan kononnya negara maju perlu ada rasuah. Pemimpin dan rakyat wajib menolak memberi dan menerima rasuah.
“Malu apa bosku? Malu itu sebahagian dalam iman! Hilang malu, apa lagi yang ada pada diri dan negara ini?” soal Cikgu Azmi mengakhiri katanya dalam program semalam.