Semasa

Tenggelamnya pelantar minyak laut dalam Naga 7

Kesemua 101 kru selamat

KUCHING: Sebuah pelantar minyak laut dalam milik Velesto, Naga 7 dilaporkan tenggelam di perairan Sarawak susulan kerosakan pada salah satu tiang sokongan pada petang semalam.

ConocoPhillips Sarawak Ltd dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang Isnin (3 Mei 2021) telah menyebabkan pelantar menyerong 10 peratus dari posisi awal.

Memetik laporan The Star, kesemua 101 kru Naga 7 yang terlibat dalam tragedi itu berjaya diselamatkan melalui operasi penyelamatan oleh kapal Perdana Marathon dan Armada Tuah.

Keutamaan kami adalah keselamatan petugas dan kami mengesahkan semua kru berjaya dikeluarkan dari Naga 7 dan dipindahkan ke darat bagi tujuan keselamatan. Tiada kecederaan atau kerosakan alam sekitar dilaporkan – Conoco Phillips Sarawak Ltd

Pelantar Naga 7 dipercayai karam ketika kerja-kerja penggerudian telaga minyak di Blok Salam 3 di perairan Bintulu-Miri sedang dijalankan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin memaklumkan pihaknya memberi kelulusan serta-merta kepada kesemua 101 kru terbabit dibawa ke Pusat Transit Luar Pesisir (OTC) dan diarahkan kuarantin selama 14 hari.

Naga 7 merupakan pelantar ‘jack up’ dengan kaki julur bebas premium yang berupaya untuk menggerudi sedalam 30,000 kaki dan kadar operasi kedalaman air sejauh 375 kaki.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button