Masjid Besar Massy, masjid mesra alam Perancis yang pertama
PARIS : Masjid Besar Massy dikategorikan sebagai masjid mesra alam merupakan satu tarikan yang yang unik dari sudut penjimatan tenaga dan penggunaan semula jadi secara cekap.
Menurut laporan Agensi Anadolu, masjid tersebut dibina dengan struktur kubah kaca berjaya menarik perhatian orang ramai selain menara masjid yang sebahagian besar diperbuat daripada kaca serta tingkap dari lantai sehingga ke siling.
Bagi memastikan penggunaan sumber tenaga yang efisien, dinding bangunannya dibina dengan penebat dua lapisan, system pemanasan bawah lantai serta lampu LED.
Mahmoud Ismail, pengerusi Majlis Umat Islam di Massy, berkata pembinaan masjid itu berdasarkan ajaran Nabi Muhammad 1,400 tahun lalu dan mengambil kira prinsip ekologi dalam al-Quran.
“Nabi Muhammad menggalakkan perlindungan terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan, serta mengelakkan pembaziran,” kata Ismail.
Masjid yang dirasmikan pada 2019 itu menggunakan air hujan yang ditadah bagi tujuan pembersihan dan penyiraman tumbuhan hijau.
Bumbung masjid mempunyai salutan vegetatif yang bertujuan untuk menghalang kehilangan tenaga dan haba serta menghasilkan oksigen, tambahnya.
Masjid itu menelan kos hingga €4.5 juta (U$4.74 juta) keseluruhan dan dibina atas sumbangan umat Islam di Massy dan seluruh Perancis.