PUTRAJAYA : Malaysia akan terus membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar sejurus selepas kemenangan dalam menduduki kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024.
Pada masa yang sama, Malaysia juga akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklmukan pemilihan Malaysia ke MHAM ini bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha serta peranan negara ini dalam membina kesepakatan dan menyumbang terhadap kemajuan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Malaysia akan mengambil peluang keanggotaan MHAM kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan dalam memupuk semangat bekerjasama, keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman dan menghormati antara satu sama lain.” katanya.
Sementara itu, Malaysia akan tetap memperjuangkan hak golongan rentan, terutamanya kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan warga tua.
Kenyataan itu turut menyebut, Malaysia bercadang untuk memperkasa golongan belia terutamanya dalam proses membuat keputusan di semua peringkat selain akan mengutamakan akses kepada persekitaran selamat, bersih, sihat, dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan, seperti diperakui oleh MHAM, baru-baru ini.
Sebelum ini, Malaysia sudah dua kali menjadi anggota MHAM iaitu pada 2006-2009 dan 2010-2013 dengan Malaysia mengambil pendekatan yang seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia.
Sehubungan itu, Malaysia percaya bahawa peranan MHAM akan menjadi semakin penting dalam memastikan agenda hak asasi manusia terus diketengahkan, terutamanya ketika dunia kini sedang kembali pulih daripada wabak Covid-19.
Kementerian Luar berkata, Malaysia akan berperanan aktif dalam MHAM serta proses yang berkaitan, dalam mencari persefahaman dan dapat bangkit secara aman untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya, serta memastikan bahawa tiada negara tercicir.
Malaysia meraih 183 undi pada pengundian sempena Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.
Oleh Nurshazlin Shahrom