Covid19KerohanianSemasa

COVID-19 : PKRC Berselawat setiap Jumaat

Bermula hari ini di semua PKRC di seluruh negara

PUTRAJAYA :  [VIDEO] Selain berikhtiar dengan dunia perubatan untuk kesembuhan daripada sebarang penyakit, kaedah rohani seperti memperbanyakkan zikrullah dan berselawat juga dituntut.  Atas rasa prihatin dan mengambil kebaikan amalan berselawat,  pagi tadi, selawat berkumandang di semua  80 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara pagi tadi bermula jam 7:00 pagi.

Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),  Program `PKRC Berselawat’ secara serentak itu merupakan salah satu ikhtiar dalam mendoakan kesejahteraan negara dan menyemarakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dalam kalangan petugas dan pesakit di PKRC.

Pic: FB NADMA

Pic: FB NADMA

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA, Datuk Dr. Aminuddin Hashim, berkata program mingguan pada setiap pagi Jumaat itu juga boleh disertai semua anggota masyarakat walau di mana mereka berada.

Bacaan selawat beramai-ramai dimulakan dengan membaca ummul kitab, al Fatihah. Ia kemudian disusuli dengan Selawat As-syifa, Selawat Fatih, Selawat Tafrijiyah, Selawat Ibrahimiyyah, dan ditutup dengan doa.  Selain Kakitangan PKRC, dan pesakit, program bacaan selawat tersebut juga turut disertai Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA dan pelbagai agensi lain.

Kredit : onenews

 

“Program pengisian rohani ini juga diharap menyemarakkan semangat dan memberi kekuatan kepada petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat memerangi pandemik COVID-19,” – NADMA 

Bertepatan dengan pandangan ramai ulama bahawa  umat Islam digalakkan memperbanyak selawat pada hari dan malam Jumaat. Baginda SAW dalam satu hadis turut menjelaskan, bahawa selawat yang dibacakan buat Baginda Nabi ﷺ akan disampaikan kepada Nabi ﷺ sendiri.

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]

Sabda Rasulullah ﷺ :

وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتكُمْ تبلغني حَيْثُ كُنْتُم

“Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada,”

 (Sunan Abu Daud – dinilai sanad yang Sahih oleh Ibn Hajar)

Related Articles

Back to top button