DuniaKemanusiaan

Kisah imam dan penagih dadah yang bersama-sama menjaga masjid

Imam yang membantu penagih dadah pulih daripada ketagihan

Ini adalah kisah seorang Imam di Turki yang telah membawa puluhan penagih dadah kembali dari lembah kehinaan.

“Lebih ramai penagih dadah di kawasan ini berbanding kawasan lain. Selepas solat, saya akan pulang dengan rasa berdebar. Suatu hari mereka memintas saya, meminta wang, dan saya serahkan kepada mereka. Ketika sampai di rumah, saya berbincang dengan isteri mengenai apa yang boleh kami lakukan untuk orang-orang ini. Kerana gaji saya sahaja tidak cukup jika saya menyerahkannya setiap hari,” kata Imam Emin Kir.

Kir dikenali sebagai baba (ayah) kepada puluhan bekas penagih dadah – dan kini mereka menjaga masjid bersama-sama, juga memberikan sokongan kepada ramai orang yang bernasib serupa dengan mereka. Sudah lebih 15 tahun beliau memberikan bantuan kepada yang memerlukan di Istanbul, menyediakan tempat tinggal untuk para gelandangan dan membantu penagih untuk pulih.

Kir adalah Imam Masjid Kaab Istanbul di kejiranan Balat yang bersejarah – dia telah membantu lebih daripada 30 orang penagih dadah ketika semua orang sudah hilang harapan dengan mereka. Setiap hari dia menawarkan sup dan teh di masjid kepada gelandangan.

“Ketika mereka datang ke sini, kami tidak bertanya tentang agama mereka, kami tidak bertanya siapa mereka. Pertamanya, mereka adalah manusia, kita harus menunjukkan belas kasihan,” kata Emin Kir.

“Ini adalah rumah Allah. Ini perlu dilakukan di masjid kerana ini adalah tempat yang mengumpulkan orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.”

Pada tahun 2006, Kir dilantik sebagai imam Masjid Kaab yang terletak di sebelah barat Tanduk Emas di Istanbul.

Di sana, dia dikejutkan dengan jumlah orang yang menggunakan dadah dan minum arak di sekitar masjid. Kir memutuskan cara terbaik bagi menangani keadaan itu adalah dengan belas kasihan.

“Suatu hari mereka memintas saya lagi. Salah seorangnya bernama Ramazan. Saya beritahu yang saya akan membuat sup untuk mereka di masjid, dan mereka bersetuju untuk menyertai saya. ”

Kir meyakinkan masyarakat untuk bersatu dan memberi sokongan dalam menyediakan sup, makanan, dan teh kepada penagih.

Kir mencari cara terbaik untuk menolong para penagih dengan penuh rasa empati. Dia mula memenuhi keperluan mereka dengan syarat mereka tidak akan membawa dadah ke masjid. Pertolongannya tidak hanya terhad kepada penagih, tetapi juga menyelesaikan perselisihan antara mereka dan menyediakan makanan, tempat tinggal, tempat mandi, dan pakaian kepada para gelandangan.

“Selepas beberapa ketika, Ramazan mulai tinggal bersama saya di masjid. Saya membina reban untuk Ramazan, belikan ayam, kami bersarapan bersama setiap pagi dan membantunya meluruskan fikiran. Kemudian dia mula memanggil saya ayah,” kata Kir kepada TRT World.

“Saya tidak pernah memalingkan wajah saya daripadanya. Dia berhenti menggunakan dadah, suatu hari dia meminta saya mencarikan kerja, dia mula menghasilkan wang sendiri. Tiga belas tahun kemudian, pada tahun 2019, dia meminta saya untuk menghantarnya kembali ke kampung halamannya, Nigde. Sekarang dia bekerja, bebas dadah. Kami berhubung setiap minggu, dia masih mengunjungi saya ketika dia datang ke Istanbul,” tambahnya.

Diilhamkan oleh kehidupan baru Ramazan, pada tahun 2019, Kir – dengan sokongan gabenor daerah, mufti dan dermawan – memutuskan untuk membantu lebih ramai yang memerlukan.

“Dalam dua tahun terakhir, kami telah membantu lebih daripada 30 orang untuk bertahan hidup. Untuk menolong seorang penagih, anda perlu memanfaatkan pengalaman bekas penagih. Yang kami bantu juga mula menolong kami menjangkau lebih ramai orang yang ketagihan di daerah ini kerana mereka dapat lebih memahami mereka,” kata Kir.

“Mula-mula, kami menyediakan tempat tidur dan makanan panas ketika mereka datang kepada kami. Apabila mereka berehat, kita mula mendengar cerita mereka. Kemudian kami menolong jika mereka mahu menghilangkan ketagihan. ”

Seorang bekas penagih berusia 24 tahun, Baris, menggambarkan imam sebagai bapanya.

“Lelaki ini menarik tangan saya, dia menolong saya. Saya membuang ketagihan dadah, mendapat kerja dan membina kehidupan, saya sudah ada pendapatan sendiri, ”kata Baris kepada TRT World.

Menurut Kir, tanpa menyentuh kehidupan mereka, kemajuan tidak mungkin dilaksanakan.

“Beberapa orang mengkritik saya dengan mengatakan beberapa orang penagih ini mempunyai sejarah jenayah. Saya tidak melihat latar belakang orang yang meminta bantuan saya. Agama saya memerintahkan saya untuk menolong,” kata imam itu.

“Nabi yang kita sayangi mengatakan agama adalah tentang keikhlasan. Mempercayai mereka bermaksud ikhlas kepada mereka, tersenyum kepada mereka, memberi belas kasihan yang memungkinkan anda memenangi hati mereka, dan inilah yang sedang berlaku di masjid ini.”

“Orang-orang ini memanggil saya, Ayah. Hidup mereka kembali bermakna. Mereka mendoakan, Tuhan memberkati anda. Adakah ada kebahagiaan yang lebih besar daripada ini? ”

Dia menggelar apa yang dia lakukan sebagai ‘duty of loyalty’.

“Saya telah bekerja di Turki selama 35 tahun, saya dibayar oleh negara, jadi mengapa saya tidak melakukan kerja tambahan untuk negara saya?

Menjadi imam bukan hanya untuk memimpin solat, tetapi juga untuk menolong anak-anak ini dan menyentuh kehidupan orang lain. Saya telah membesarkan anak-anak saya sendiri, terima kasih kepada negara ini, dan sekarang saya berusaha untuk menjadi berguna kepada negara saya.”

Bercakap dengan TRT World mengenai rancangan masa depannya, Kir mengatakan bahawa dia ingin membangunkan desa untuk penagih yang akan sibuk melakukan aktiviti positif.

“Saya ingin membuka bengkel di kampung berdasarkan bakat mereka. Ketagihan dadah tidak hanya dapat diubati dengan ubat. Begitulah cara saya menyelamatkan Ramazan dan yang lain, saya memberi mereka tugas yang membantu mereka menyingkirkan ketagihan,” katanya.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button