Covid19Semasa

Kelantan berdepan gelombang kedua banjir

KOTA BHARU : Susulan Amaran Hujan Berterusan Bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bertarikh 30 Disember pada jam 11:20 pagi, Kelantan kini berdepan dengan gelombang kedua banjir.

Merujuk portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dua sungai di Kelantan iaitu Kampung Temangan, Machang dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan paras bahaya setakat jam 11 pagi tadi, dengan kedua-duanya masih menunjukkan trend meningkat.

Kemas kini terkini di portal JPS menunjukkan bacaan Sungai Kampung Temangan di Machang, pada paras 19.86 meter (m), melebihi paras bahaya 17.5m sekitar jam 11 pagi.

Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob di Tanah Merah merekodkan bacaan 23.53m, melebihi paras bahaya 23.5m pada jam 8 pagi.

Manakala, dua sungai lain  di Kelantan iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai yang mencatat 24.92m melebihi paras amaran 22.5m, serta di Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah mencatatkan sejumlah 14.57m melebihi paras amaran 14m.

Kedua-duanya menunjukkan trend meningkat.

Sementara itu, portal ebanjir Kelantan memaklumkan sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Jeli yang menempatkan 1338 mangsa meliputi 397 keluarga setakat jam 9:16 pagi.

Sembilan PPS yang dibuka antaranya  PPS Dewan Kesedar, Tabika Kemas dan Sungai Satan melibatkan 349 mangsa, PPS Dewan Kesedar dan Pasti Bukit Lakota (186 mangsa), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bongor (293 mangsa), PPS SK Jeli 1(127 mangsa), Masjid Gemang (116 mangsa), SK Kuala Balah (63 mangsa), SK Legeh (123 mangsa), SK Bukit Jering (27) dan SMK Air Lanas (54).

Di Kuala Krai, lima PPS dibuka dengan memberi perlindungan kepada 170 mangsa banjir melibatkan 43 keluarga.

Lima PPS tersebut ialah Pusat Komuniti Chuchoh Puteri A (81 mangsa), Masjid Chucuh Puteri A (27 mangsa), Madrasah Chucuh Puteri A (41 mangsa), Dewan Sri Guchil (5 mangsa) dan Dewan Pejabat Veterinar Kuala Krai (16 mangsa).

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat banjir yang dikeluarkan portal Public Info Banjir JPS.

Related Articles

Back to top button