DuniaSemasa

Hospital Al-Quds Gaza terima sistem bekalan tenaga solar

DOHA: Dalam usaha bantuan membangunkan sektor kesihatan di Gaza, Persatuan Bulan Sabit Merah Qatar (QRCS) telah menyediakan Hospital Al-Quds milik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di sana dengan sistem tenaga solar bagi mengurangkan beban kesan bekalan elektrik terputus selama lebih 12 jam setiap hari.

“Projek itu akan membantu memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan untuk pesakit di kemudahan hospital itu”, jelas Dr Akram Nassar, Ketua Pejabat Perwakilan QRCS di Gaza.

Di bawah ‘Projek QR 1.6million’, sebanyak 498 panel solar telah dipasang untuk membekalkan hospital itu dengan tenaga elektrik berjumlah 323 kilowatt.

Menurut Dr Bashar Murad, Ketua Pengarah PRCS – Gaza, hospital itu amat memerlukan bekalan kuasa sepanjang masa untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan menyelamatkan nyawa termasuk pembedahan jantung dan kateterisasi, sesi dialisis setiap jabatan pembedahan, rawatan rapi serta kecemasan.

“Kini, bil perbelanjaan operasi bulanan untuk penjana dan bahan api adalah berkurangan sebanyak 40%, bermakna pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran alam sekitar turut berkurangan”.

“Bantuan QRCS untuk menyediakan Hospital Al-Quds dengan tenaga solar akan membantu menangani kekurangan bekalan kuasa yang diperlukan untuk mengendalikan hospital,” tambahnya.

QRCS telah mengusahakan pelbagai projek untuk menyediakan tenaga boleh diperbaharui di Gaza demi memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk penduduk.

Projek-projek ini juga telah menyokong banyak pusat kesihatan, universiti tempatan dan rumah keluarga miskin di beberapa kawasan di Gaza.

BACA JUGA
Pembinaan Apartmen Wakaf Malaysia di Penjara Terbesar Dunia – Gaza

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button