Kekerapan tren ditingkatkan mulai hari ini – Prasarana
KUALA LUMPUR : Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan akan meningkatkan kekerapan semua perkhidmatan rel susulan peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat.
Ketua Pegawai Operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL, Azmi Md Zain berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan penumpang kekal mematuhi penjarakan fizikal berikutan jumlah pengguna dijangka bertambah mulai minggu depan.
“Kami sentiasa memantau situasi penumpang melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sekiranya perlu kita akan menambahkan lagi jumlah tren.
“Penumpang tidak perlu risau kerana kita menyediakan kapasiti mencukupi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan terkini penggunaan perkhidmatan rel pada hari pertama pelaksanaan Fasa Dua PPN di Lembah Klang di Stesen KL Sentral di sinipada Jumaat.
Beliau berkata, kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, laluan monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara empat hingga 10 minit, bergantung pada waktu puncak.
Bagaimanapun, katanya operasi perkhidmatan rel adalah dari jam 6 pagi hingga 11 malam sahaja.
Azmi berkata, penumpang juga digalakkan untuk melakukan penjarakan fizikal secara kendiri memandangkan operasi tren dijalankan dengan kapasiti 100 peratus penumpang.
Sementara itu, seorang penumpang N Nalini yang melakukan perjalanan dari LRT Taman Jaya ke LRT Ampang Park meluahkan rasa gembira kerana tidak perlu menunggu lebih lama untuk ke tempat kerjanya.
-Sinar Harian