EkonomiSemasa

Resah harga minyak bakal reda

Cecah RM30 bagi berat 5 kilogram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan berita gembira mengenai harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran dalam masa terdekat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman itu selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini. (23 Jun)

“Agenda mesyuarat adalah berkaitan syor kementerian dalam usaha menstabilkan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran yang menjadi keresahan rakyat. Sehubungan itu, Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan berita gembira kepada rakyat dalam masa terdekat,” – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi /  Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Beliau berkata demikian dalam Facebook rasmi kementerian hari ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dilapor berkata, kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu minyak masak susulan perbincangan bersama KPPK dan Kementerian Kewangan.

Ia susulan rungutan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan berkenaan yang sebelum ini dilaporkan mencecah hingga RM30 bagi minyak masak seberat lima kilogram.

Sebelum ini, Datuk Tengku Zafrul dilapor mengumumkan kerajaan bakal menampung subsidi minyak dan minyak masak hingga RM8 bilion, iaitu RM4.22 bilion lebih tinggi daripada RM3.78 bilion diperuntukkan bagi tahun ini.

Beliau berkata, RM6.32 bilion sudah dibelanjakan kerajaan bagi subsidi minyak dan minyak masak pada 2019, manakala RM2.16 bilion, tahun lalu. – Berita Harian

Related Articles

Back to top button