Kanak-kanak tiga tahun berkelakuan aneh, rupa-rupanya diberi dadah oleh ayah tiri
Ayah tiri tidak bertanggungjawab
Nilai : Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah peribahasa yang sesuai bagi mengambarkan keadaan ini. Seorang bapa tiri sedang dicari bagi membantu siasatan pihak polis. Ini berhubung dengan tindakan bapa tiri itu yang disyaki memasukkan dadah ke tubuh anaknya yang berumur tiga tahun.
Anak yang sepatutnya dijaga dengan penuh kasih sayang oleh seorang bapa, tetapi lain pula yang berlaku.
Semuanya bermula apabila ibu mangsa membawa anaknya ke hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, pada hari Khamis lepas, apabila melihat anaknya berkelakuan tidak seperti biasa.
Hasil ujian air kencing, pihak hospital mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine. Pihak hospital terus melaporkan kejadian itu di Balai Polis Nilai pada hari Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab Rahman mengesahkan laporan yang diterima. Menurutnya lagi siasatan awal menunjukkan mangsa dijaga oleh ayah tirinya pada hari Rabu, sehari sebelum ke hospital.
Sehubungan itu, polis giat mengesan bapa tiri mangsa, Mohd. Faresh Khalid, 38 yang bekerja sebagai tukang jahit dengan alamat terakhir di Pangsapuri Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Taman Desa Jasmin, Nilai.
Suspek dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.