DuniaSemasa

Di manakah kapal selam Nanggala-402?

Dilaporkan hilang ketika sedang jalani latihan

JAKARTA 22 April : Kapal selam Nanggala-402 milik Tentera Laut Indonesia (TNI) yang membawa 53 kru dilaporkan terputus hubungan ketika menjalani latihan torpedo di perairan Bali Utara sekitar pukul 3 petang waktu tempatan semalam.

Memetik laporan Kompas.com, Komander Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia, Panglima Hadi Tjahjanto memaklumkan berdasarkan pemantauan dari udara pihaknya menemui kesan tumpahan minyak di sekitar kedudukan awal kapal selam itu berada sebelum dilaporkan hilang.

“Pasukan penyelamat menemukan kesan tumpahan minyak di sekitar kedudukan awal kapal selam berkenaan. Sehingga kini, operasi SAR masih dilakukan menggunakan teknologi ‘side scan sonar,” – Komander Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia / Panglima Hadi Tjahjanto

Beliau turut memberitahu bahawa pasukan tentera telah mengerahkan semua asetnya yang dilengkapi sistem pengesan untuk melakukan carian sekitar 95 kilometer dari Bali.

Dalam misi pencarian kapal selam tersebut, Indonesia meminta bantuan dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Australia dan berharap dapat menyokong usaha pengesanan menggunakan kapal penyelamat kapal selam.

“Kita selama ini ada menjalin kerjasama dengan Singapura dan Australia dalam hal pencarian dan perkara yang berkaitan dengan kemalangan sewaktu latihan. Kita sudah berkomunikasi,” – Komander Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia / Panglima Hadi Tjahanto

Berdasarkan perancangan awal, latihan tembakan torpedo melibatkan Nanggala-402 itu akan disaksikan sendiri oleh Panglima TNI itu pada ini. Sebaliknya, Hadi akan ke lokasi untuk menyertai misi mencari dan menyelamat.

Kementerian Pertahanan Indonesia sehingga kini giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam yang berkemungkinan terkandas di lokasi jurang di kedalaman 700 meter.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button