Kanada letak notis amaran bahaya pada puntung rokok
OTTAWA : Langkah meletakkan notis amaran pada setiap batang rokok dilaksanakan di Kanada, sekali gus menjadikan ia negara pertama di dunia yang melakukan inisiatif tersebut sebagai usaha mendidik perokok mengenai kesan kesihatan yang bakal dihidapi.
Menurut laporan The New York Times, Menteri Kesihatan dan Ketagihan, Carolyn Bennett berkata, tanda grafik amaran turut diletakkan pada setiap produk tembakau menerusi polisi yang diperkenalkan oleh kementerian itu.
“Selama ini, mereka sering mengabaikan maklumat yang dicetak pada bungkusan tersebut.
“Langkah ini mampu membantu memastikan orang ramai termasuk golongan muda yang gemar menghisap rokok dalam pelbagai situasi sosial mendapat mesej penting yang cuba disampaikan
Tempoh perundingan bagi perubahan yang dicadangkan akan ditetapkan bermula pada Sabtu, dan pihak kerajaan menjangka perubahan itu akan berkuat kuasa pada separuh suku kedua 2023.
Bennet berkata, mesej yang dicadangkan buat masa ini adalah: ‘Racun dalam setiap sedutan’ dan notis yang dicetak pada setiap batang rokok berkemungkinan akan berubah-ubah.
Tambahnya, amaran kesan kesihatan termasuk kanser perut, kolorektal, diabetes dan penyakit vaskular periferi juga diletakkan pada bungkusan kotak rokok.
Bagi Penganalisis Dasar Kanan, Persatuan Kanser Kanada, Rob Cunningham, amaran yang dicetak secara langsung pada rokok akan menjadi usaha popular di peringkat antarabangsa.
“Tiada negara lain sudah melaksanakan peraturan sedemikian dan kita berharap amaran itu akan membawa perubahan yang nyata.
“Ini adalah amaran yang tidak boleh diabaikan kerana ia akan melibatkan setiap perokok pada setiap sedutan,” katanya.