Covid19Semasa

“Marah punya pasal, penghadang jalan dibakarnya”

Laluan tikus ditutup sejak PKP dilaksanakan

JERTIH : Akibat rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak polis menutup jalan tikus, segelintir individu tidak bertanggungjawab membakar penghadang plastik dan kawat duri di Kampung Gong Lapang sebagai tanda protes di sempadan Terengganu-Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, perbuatan vandalisme itu disedari anggota polis yang membuat rondaan di kawasan laluan tikus itu malam semalam.

Menurutnya, ia bukan kejadian vandalisme pertama sebaliknya sudah beberapa kali penghadang jalan plastik ditebuk dan dibuang air serta dialihkan di beberapa laluan tikus sepanjang sempadan negeri ini.

“Sebelum ini, hanya 15 lorong tikus sahaja yang ada bagi menghubungkan penduduk di dua negeri ini tetapi bertambah kepada 26 lorong tikus baharu. Perbuatan membakar penghadang jalan itu menunjukkan ada pihak tidak puas hati dengan tindakan tutup laluan untuk menghalang pergerakan rentas sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjelang Aidilfitri, Khamis ini,” – Ketua Polis Daerah Besut / Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Tindakan pantas memasang penghadang jalan konkrit di laluan tikus berkenaan diambil dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan kembali dirosakkan.

Pihak polis berasa kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih berdegil, keras kepala, tidak ambil peduli dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

Usaha bagi mengekang penularan wabak Covid-19 bukanlah hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah seluruh masyarakat Malaysia haruslah berganding bahu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button